Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Bazar beri peluang tambah pendapatan

SEGAMAT – Ramadan diibaratkan pintu rezeki apabila ramai peniaga mengambil kesempatan melipatgandakan keuntungan mereka dengan berniaga di bazar sementara sama ada di Bazar Ramadan atau Bazar Aidilfitri.

Bagaikan satu tradisi apabila orang ramai mula mengambil peluang mengunjungi dua lokasi tersebut sama ada bagi membeli juadah berbuka puasa atau barangan keperluan bagi menyambut hari lebaran.

Baik yang berniaga secara tetap mahupun sambilan, bazar niaga sementara yang menyediakan persiapan Aidilfitri di Dataran Segamat, di sini, menjadi pilihan para peniaga untuk menambah pendapatan menjelang lebaran.

Bagi peniaga tudung dan aksesori, Zaleha Samsuddin, 36, berkata, usaha Majlis Daerah Segamat (MDS) mewujudkan tapak bazar Aidilfitri di kawasan tersebut saban tahun adalah peluang keemasan untuknya menambah pendapatan.

Menurutnya, dia mengakui kehadiran pengunjung ini ternyata memberi rezeki yang melimpah ruah kepada peniaga termasuk dirinya kerana hasil jualan mereka mendapat sambutan daripada orang ramai.

Zaleha sedang menyusun barang jualannya.

“Saya sudah lima tahun berniaga di bazar Aidilfitri ini bersama suami, walaupun terpaksa berebut lot niaga dengan peniaga-peniaga lain kerana pemilihan tapak bazar ini dilakukan secara undian oleh MDS.

“Sebagai peniaga, bulan Ramadan ini memang ditunggu kerana peluang terbaik menambah pendapatan kerana bazar ini boleh diibaratkan sebagai pusat hentian setempat yang menyediakan pelbagai keperluan sama ada kuih muih atau kelengkapan raya,” katanya.

Katanya, dia hanya menjual tudung dan aksesori seperti beg di Bazar Aidilfitri Segamat memandangkan perkhidmatan kejutan dan belon yang diusahakan bersama suaminya agak perlahan sepanjang bulan Ramadan ini.

Ibarat bonus kepada peniaga

Menurut Zaleha yang menyediakan perkhidmatan kejutan dan belon, Oh Balloon, keuntungan yang diperolehinya sepanjang bulan Ramadan ini akan digunakan untuk menambah modal pusingan perniagaan yang diusahakannya secara tetap itu.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, keuntungan yang diperolehi memang sangat memuaskan namun keutamaan bukan kepada gaji sendiri kerana keuntungan yang diperolehi ini perlu dimanfaatkan pula untuk kos operasi Oh Balloon.

“Sekiranya penjawat awam memperolehi bonus setiap tahun, bagi peniaga seperti saya, keuntungan berniaga di bazar boleh diibaratkan bonus kepada diri sendiri yang hanya diperolehi sekali setiap tahun,” katanya.

Pelanggan yang datang ke gerai jualan Zaleha.

Menurutnya, Dataran Segamat ini boleh dianggap lokasi paling strategik dan ideal untuk orang ramai membeli kelengkapan hari raya kerana terletak di tengah-tengah bandar Segamat dan berhampiran pejabat-pejabat kerajaan.

Katanya, bagi memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaannya, dia juga telah berhenti kerja sebagai petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada tahun 2011 dan tidak pernah mengalami sebarang masalah dengan MDS.

Sementara itu, bagi peniaga makanan di bazar Ramadan di Dataran Labis, Mohd Salleh Misnan, 53, berkata, dia yang hanya menjual kebab tidak akan melepaskan peluang mencari duit lebih kerana bazar Ramadan menjadi antara salah satu lubuk rezeki.

Katanya, sekiranya dia tidak berniaga di bazar Ramadan, pendapatannya mungkin akan sedikit terjejas kerana dia merupakan peniaga sepenuh masa yang menjual kuih muih seperti jemput-jemput dan pisang goreng di Pekan Labis.

“Kebanyakan pelanggan yang datang ke kedai saya merupakan pelanggan tetap setiap hari dan seperti di Labis, hanya di Dataran Labis sahaja lokasi yang sesuai dan mampu menempatkan ramai peniaga.

“Selepas Ramadan, saya akan terus berniaga seperti biasa dan lot niaga yang ada sekarang saya sewa secara terus melalui Majlis Daerah Labis (MDL) dan bukannya melalui pihak ketiga,” katanya.

Katanya, harga makanan di kedainya juga tetap sama seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun kebanyakan peniaga berdepan isu kenaikan harga barang seperti minyak masak sehingga ada segelintir peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan makanan.

Menurut bapa kepada lima anak itu, dia amat mementingkan kualiti terhadap barang jualannya dan itu terbukti apabila dia juga hanya menggunakan minyak masak yang benar-benar berkualiti untuk gorengan dan selepas dua hari minyak gorengan tersebut akan ditukar baharu.

“Saya juga amat mementingkan hubungan dengan pelanggan dan setiap maklum balas daripada mereka akan saya ambil kira kerana ini penting bagi memastikan apa yang diusahakan oleh saya sentiasa mendapat sambutan,” katanya.

(Visited 56 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: