Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Mohamed Saari

 

Anak-anak kekok diperingkat awal

LABIS – Dua orang anak Mohd. Fahmi yang membantunya mencari buluh lemang mengakui merasa kekok dan hampir patah semangat ketika mula-mula membantu bapa mereka.

Mohamad Hafiz Moh Fahmi, 27, berkata, dia mendapati kerja-kerja menebang dan menarik buluh memerlukan kemahiran dan tenaga yang banyak selain kesabaran yang tinggi.

“Kebanyakan buluh yang ditebang adalah buluh yang muda dan selalunya bahagian hujung atau pucuk buluh tersebut membelit pokok berhampiran membuatkannya ‘melekat’ dan tidak mahu tumbang.

“Bagi mendapatkannya, kami terpaksa memotong bahagian tersebut menggunakan sabit yang diikat pada sebatang galah yang panjang,” katanya ketika ditemui di lokasi dia mengambil buluh baru-baru ini.

Katanya, proses memotong pucuk buluh tersebut bukan sahaja sukar kerana terutama untuk menegakkan galah di kawasan yang banyak pokok dan tumbuhan lain, malah boleh mengundang bahaya jika sabit terjatuh ketika rentapan dilakukan.

Adiknya, Mohamad Haikal Mohd. Fahmi,18, berkata, bukan semua buluh boleh ditebang, sebaliknya hanya buluh yang masih muda sahaja sesuai untuk dijadikan buluh lemang.

Mohamad Hafiz (kanan) dan Mohamad Haikal sedang menyusun buluh yang sudah siap dipotong untuk dibawa keluar dari kawasan hutan.

Menurutnya, buluh yang sudah tua tidak sesuai digunakan kerana ia akan pecah ketika proses membakar lemang selain buluh tersebut selalunya lebih tebal.

Katanya, terdapat dua jenis buluh yang digemari oleh pelanggan iaitu buluh akar dan buluh nipis. Walaupun buluh nipis lebih mudah diambil, tetapi buluh tersebut terdapat banyak miang yang menyebabkan kulit menjadi gatal dan bengkak jika tersentuh.

Sementara itu, seorang pelangan yang hanya mahu dikenali sebagai Zakaria dari Pahang berkata, dia yang menjual lemang setiap kali menjelang hari raya sudah menjadi pelanggan Mohd Fahmi sejak hampir lapan tahun yang lalu.

“Saya suka membeli buluh daripada Fahmi kerana buluh yang dibekalkannya bukan sahaja bersaiz sederhana dimana tidak terlalu besar atau kecil selain buluh jenis buluh akar yang tidak mempunyai miang buluh.

“Selain itu sikapnya yang mudah mesra dan boleh bertolak ansur juga antara faktor saya terus menempah buluh daripadanya dan tidak bercadang untuk beralih angin dengan orang lain”, katanya.


Sukar cari buluh lemang

LABIS 12 Jun – Mungkin ramai yang mampu menahan bahang api ketika membakar lemang, namun tidak ramai yang mampu meredah hutan mencari buluh yang merupakan bahan terpenting untuk membuat lemang.

Selain berdepan ancaman pelbagai haiwan berbisa seperti ular yang gemar mendiami rumpun buluh, pencari buluh lemang ada kalanya turut berdepan ancaman haiwan lain seperti gajah.

Seorang pencari buluh lemang di Pekan Air Panas, Mohd. Fahmi Idris, 60 berkata, dia yang sudah hampir 10 tahun mencari buluh lemang sudah lali dengan pelbagai cabaran serta risiko ketika masuk hutan mencari buluh.

“Selain terserempak ular, tabuan dan penyengat, saya pernah tersrempak dengan kawanan gajah yang jaraknya lebih kurang 30 meter sahaja dari saya dua tahun lalu.

“Mujur gajah-gajah tersebut tidak menyedari kehadiran saya ketika itu dan saya sempat melarikan diri, jika tidak mungkin saya berdepan bahaya,” katanya kepada media baru-baru ini.

Katanya, dia yang dibantu oleh dua anaknya, Mohamad Hafiz,27, dan Mohamad Haikal, 18, mampu mengambil kira-kira 400 hingga 500 ruas buluh lemang sehari yang dijual dengan harga RM1 setiap satu.

Menurutnya, jika dahulu dia boleh mengambil buluh di sekitar kampung, namun sekarang kawasan yang ditumbuhi buluh semakin kurang kerana sudah dibersihkan dan ditanam sama ada getah atau kelapa sawit oleh peduduk kampung.

Fahmi menebang buluh yang sesuai digunakan untuk membuat lemang.

“Selain saya terdapat hampir 10 orang lagi pencari buluh lemang dan setiap seorang mendapat tempahan sekitar 10 ribu batang daripada peraih yang datang dari sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

“Sebenarnya kami tidak mampu memenuhi permintaan kerana kawasan yang ditumbuhi buluh semakin kurang dan terletak semakin jauh di dalam hutan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa meredah hutan melalui bekas jalan balak yang sudah dihakis air serta becak sejauh kira-kira empat kilometer ke dalam hutan untuk sampai ke kawasan yang terdapat buluh.

Katanya, walaupun tidak memerlukan modal yang besar, hanya berbekal sebilah parang dan gergaji, namun usaha mencari buluh lemang ini memerlukan kecekalan yang tinggi serta keberanian.

“Selain pacat dan nyamuk, kami terpaksa berhati-hati dan berdepan risiko dipatuk ular dan sengatan tabuan yang menjadikan rumpun buluh sebagai habitat mereka.

“Selain sebagai punca rezeki, usaha saya ini sedikit sebanyak mampu membantu memastikan lemang sebagai hidangan tradisi dan warisan orang Melayu tidak lenyap begitu sahaja. Selagi terdaya dan ada permintaan saya akan terus mencari buluh lemang pada masa akan datang,” katanya.


50 Anak Yatim dan murid istimewa dirai

LABIS 19 Jun – Kesedihan seorang anak yatim di sini yang terpaksa berhari raya tanpa seorang bapa terubat apabila dia bersama 50 rakan lain yang terdiri daripada anak-anak yatim dan murid pendidikan khas diraikan dalam satu majlis di Bee Honey Cafe baru-baru ini.

Mohd. Budiman Samad, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Labis mengakui sejak ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu, sambutan hari raya baginya tidak lagi semeriah dahulu ketika bapanya masih ada.

“Waktu yang paling terasa kehilangan ayah ialah pada pagi raya, walaupun masih ada ahli keluarga lain, namun suasana tidak sama seperti semasa ayah masih ada.

“Memang adakalanya.saya rasa cemburu melihat rakan lain yang masih ada bapa berpeluang menunaikan solat sunat hari raya bersama bapa mereka,” kata anak bongsu dari lima adik beradik ini kepada Komuniti Segamat.

Pada majlis tersebut, seramai 50 murid dari 14 sekolah di Parlimen Labis diraikan dan turut menerina duit raya serta baju raya.

Karanya, dengan adanya majlis seperti itu sedikit sebanyak dia dapat melupakan kekurangan diri apabila bertemu dengan rakan-rakan lain yang senasib dengannya.

Bagi Nur Aiza Syamimi Daud, 12, turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang berbuka puasa bersama rakan-rakan lain dalam suasana yang meriah yang merupakan kali pertama selepas bapanya meninggal dunia akibat kemlangan jalan raya empat tahun lalu.

Katanya, selain mendapat duit raya dan baju raya, mereka turut berpeluang menikmati pelbagai juadah enak yang disediakan selain berkenalan dengan rakan dari sekolah lain.

Dia berharap bantuan dihulurkan kepada anak-anak yatim dan golongan miskin bukan sahaja pada waktu tertentu seperti menjelang hari raya, sebaliknya secara berterusan mengikut keperluan mereka.

Sementara itu, Pengurus Bee Honey Cafe, Norashikin Ismail berkata, program tersebut yang julung kali dianjurkan oleh pihaknya antara lain bertujuan untuk berkongsi kegembiraan dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Sumbangan yang kami hulurkan ini tidaklah sebesar mana, namun kami harap mampu memberi keceriaan kepada mereka pada bulan yang mulia ini,” katanya.


Ibu dan dua anak cemas rumah dipukul ribut

LABIS – Seorang isteri di Kampung Sawah Baru dekat sini bedepan saat cemas ketika bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut kira -kira pukul 4.30 petang, 12 Jun lalu.

Rohaini Mohd.Basri, 36, berkata, ketika kejadian hanya dia bersama dua orang anaknya berusia lima dan tujuh tahun berada di rumah sementara suaminya Amran Abdullah,46, tiada di rumah kerana ada urusan di luar dan seorang lagi anaknya berusia sembilan tahun bersekolah agama.

“Saya yang berasa takut hanya mampu melihat sahaja kira-kira 10 keping atap zink bahagian ruang tamu serta dapur rumah saya diterbangkan angin dan air mencurah masuk ke dalam rumah.

“Ketika itu saya panik dan membawa anak-anak saya berlindung di satu sudut di ruang tamu sambil berdoa agar hujan lebat dan angin kencang berhenti segera,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan ADUN Tenang, Mohd Azahar Ibrahim dan pegawai Baitulmal baru-baru ini.

Katanya, selepas hujan dan angin reda dia mendapati banyak perkakas rumah musnah ditimpa hujan selain juadah untuk berbuka puasa yang sedang disiapkan turut rosak ditimpa hujan dan habuk.

Menurutnya, dia terkejut dengan kejadian itu terfikir untuk menghubungi suaminya yang pulang kira-kira satu jam kemudian untuk memaklumkan kejadian tersebut yang pertama kali berlaku sejak hampir 15 tahun tinggal di rumah tersebut.

Sementara itu, Amran melahirkan rasa syukur kerana anak-anak serta isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan dan menerima kejadian tersebut sebagai takdir.

Katanya, dia belum membuat tafsiran jumlah kerugian yang dialaminya kerana memberi tumpuan untuk membaiki kerosakkan terlebih dahulu memandangkan hujan sering turun pada sebelah petang sejak kebelakangan ini.

Mohd. Azahar pula meminta Amran untuk memohon sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) memandangkan rumah sedia ada sudah uzur dan banyak kayu yang sudah reput.

“Saya akan menyokong permohonannya nanti kerana melalui permerhatian saya, dia layak untuk mendapatkan rumah bina baharu bagi memberi keselesaan kepada keluarganya.

“Selain itu saya juga akan melihat keperluan lain mereka dan menyalurkan sebarang bantuan bagi memastikan keselesaan mereka sekeluarga,” katanya.


41 penerima bantuan JKM terima duit raya

LABIS – Seramai 41 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM ) di Parlimen Labis menerima duit raya serta barang keperluann harian yang disumbangkan oleh JKM Segamat baru-baru ini.

Seorang penerima, Samsuddin Amin,65, dari Bekok melahirkan rasa syukur kerana namanya tersenarai sebagai salah seorang penerima.

“Saya tidak bekerja mengalami gangguan mental sejak remaja, ketika saya tinggal bersama anak saudara saya di Bekok dan hanya bergantung kepada bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan.

“Walaupun duit raya yang diterima ini tidak banyak, namun sekurang-kurangnya dapat membantu saya membuat persiapan menyambut hari raya tidak lama lagi,” katanya selepas menerima duit raya daripada JKM yang disampaikan oleh ADUN Tenang, mohd. Azahar Ibrahim di Labis.

Turut hadir ialah Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Segamat, Rusyidatul Mat Yaakob.

Katanya, yang belum berumah tangga, dia begitu menghargai bantuan yang dihulurkan oleh JKM setiap bulan kerana bantuan yang tersebut dapat meringankan beban anak saudaranya yang terpaksa menanggung segala keperluannya selama ini.

Noriah Idun, 60, dari Kampung Tenang pula menyifatkan sumbangan tersebut selain meringankan beban golongan memerlukan sepertinya, malah sebagai bukti bahawa kerajaan tidak pernah melupakan nasib golongan tidak bernasib baik.

Katanya, walaupun dia berstatus OKU yang mengalami masalah kecacatan pertuturan dan tidak boleh bekerja, namun nasibnya tidak pernah diabaikan oleh pihak bertanggungjawab.

Dia turut berharap agar sumbangan dari pelbagai pihak kepada golongan yang memerlukan tidak dihulurkan pada musim perayaan sahaja, sebaliknya secara berterusan mengikut keperluan mereka.

Sementara itu, Mohd. Azahar meminta penerima subangan agar membelanjakan wang yang diterima sebaik mungkin bagi menyambut hari raya tidak lama lagi.

“Saya harap bantuan yang diterima ini tidak disalah guna dengan membelanjakannya kepada perkara tidak berfaedah,” katanya.


error: