Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Mohamad Firdaus

 

Warga Emas Isi Masa Terluang Jinakkan Kancil dan Kijang

LABIS – Golongan muda hari ini bukan sahaja tidak berpeluang menikmati keenakannya, malah turut tidak berpeluang melihat secara dekat beberapa spesis haiwan liar seperti landak, kancil, kijang dan rusa tempatan yang semakin diancam kepupusan.

Namun usaha gigih seorang warga emas di Kampung Tenang menjinak dan menternak beberapa spesis haiwan liar seperti kancil dan kijang patut dipuji kerana usaha tersebut sedikit sebanyak mampu memberi sedikit sinar kepada generasi akan datang agar tidak sekadar mengenali haiwan tersebut melalui penceritaan dan gambar sahaja.

Ali Daud,70, berkata, segalanya bermula pada tahun 2016 apabila permohonannya mendapatkan permit menternak landak diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum diikuti permit menangkap dan memelihara kancil pada awal tahun 2018.

“Saya bermula dengan beberapa ekor induk landak raya yang diperolehi dari Selangor pada tahun 2016, namun induk landak raya tersebut merupakan baka landak yang dikembangkan di pusat ternakari bukan landak liar yang ditangkap dari hutan.

Ali Daud menunjukkan salah seekor anak landak raya yang dipeliharanya.

Dalam masa sama saya sebenarnya menyimpan hasrat untuk memelihara kancil kerana usaha menjinakkan dan memelihara kancil belum dilakukan oleh orang ramai ketika itu berbanding landak dan rusa.

Dia mencuba nasib dengan memohon permit menangkap kancil dengan Perhilitan Melaka dan Pahang pada penghujung tahun 2017 memandangkan tiada permit dikeluarkan untuk menangkap dan memburu haiwan liar di negeri Johor.

Dia bernasib baik, permohonannya diluluskan pada Januari 2018 dan dia tidak menoleh ke belakang lalu berusaha memasang perangkap jatuh di kawasan hutan sekitar Felda Selancar yang terletak di negeri Pahang untuk mendapatkan kancil bagi tujuan dijinakkan dan dipelihara.

Menurutnya selama lima bulan dia berulang alik menaiki motosikal ke hutan tersebut yang terletak kira-kira 60 kilometer dari rumahnya untuk memasang dan melihat perangkap jatuh yang dipasangnya sama ada mengena atau tidak.

“Usaha menangkap kancil bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kancil begitu sensitif dengan bau terutama bau manusia dan perangkap yang dipasang selalunya mengambil masa lebih seminggu sebelum dijengguk mangsa.

Ali Daud menunjukkan salah seekor kancil liar yang berjaya dijinakkan.

“Dalam tempoh tersebut selalunya daun lemaya yang dipasang sebagai umpan akan layu dan tidak lagi mampu menarik perhatian kancil untuk menjamahnya dan terpaksa ditukar dengan daun yang segar. Proses tersebut kena dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kita meninggalkan sebarang jejak dan bau yang boleh menghalang kancil mendekati perangkap,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh lima bulan dia berjaya menangkap lima ekor kancil terdiri tiga betina dan dua ekor jantan untuk dijadikan induk. Namun usahanya tidak berakhir disitu sahaja kerana dia perlu sekali lagi memohon permit memelihara daripada Perhilitan sebelum boleh meneruskan hasratnya memelihara haiwan liar tersebut.

Daun lemaya yang menjadi kegemaran kancil.

Katanya, pada peringkat awal agak sukar untuk menjinakkan haiwan tersebut sehingga dia terpaksa mengurung kancil liar yang ditangkap dari hutan itu di dalam tempat yang gelap untuk tempoh beberapa minggu bagi membiasakannya dengan persekitaran baharu.

Ketika ini jumlah landak raya serta kancil peliharaanya sudah brtambah kepada 20 ekor landak dan sembilan ekor kancil.

Menurut Ali, dia menghadkan hanya 20 ekor landak dalam satu masa kerana tidak mahu kandang yang disediakannya terlalu sesak yang boleh menyebabkan haiwan tersebut tidak selesa.

Selalunya, dia akan menjual baka landak sahaja kepada mereka yang berminat untuk menternak landak kerana dia tidak mempunya lesen untuk tujuan pedaging, sebaliknya hanya pengembangan baka sahaja.

Sementara kancil pula dia tidak dibenarkan menjual sama ada dalam bentuk baka mahu pun daging untuk tujuan makanan kerana dia hanya mempunyai permit menangkap dan memelihara sahaja setakat ini.

“Berbanding landak, pembiakan kancil agak lambat kerana haiwan ini lazimnya hanya melahirkan seekor anak dalam satu masa dan secara maksima boleh bunting dua kali setahun.

“Selain itu penjagaan kancil agak rumit kerana kancil memerlukan suasana kandang yang menyerupai habitat sebenarnya seperti di dalam hutan, jika tidak kancil tidak selesa dan sukar untuk membiak serta mudah dijangkti penyakit.” katanya yang sudah membelanjakan lebih RM20,000 wang simpanannya untuk membina kandang landak, kancil dan terbaharu kijang.

Berdasarkan komitmen serta minat terhadap haiwan liar, Perhilitan telah memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan usahanya bagi menternak kijang pula sejak dua bulan lalu dengan membekalkan empat ekor baka kijang baka tempatan iaitu tiga betina dan seekor jantan.

Salah seekor kijang peliharaan Ali Daud yang masih dalam proses dijinakkan.

Katanya, usaha menjinakkan kijang lebih sukar berbanding kancil selain perlu menyediakan kandang yang lebih luas dan pagar yang tinggi kerana kijang mampu melompat sehingga tiga meter tinggi.

Seperti juga kancil, selain memelukan persekitaran yang menyerupai habitat asal seperti di hutan, kijang juga gemar memakan pucuk daun kayu hutan dan buah-buahan segar yang boleh diperolehi di sekitar kampung sahaja.

Ali Daud mengumpul buah-buahan serta ubi keledek untuk diberikan kepada haiwan peliharaannya.

Dia mengakui sebahagian besar masanya dihabiskan di kandang ternakan untuk memastikan semua haiwan pelharaan sentiasa mendapat penjagaan rapi bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit.

“Saya berasa tenang melihat keletah haiwan ini dan puas setiap kali berjaya menjinakkan haiwan liar ini dimana ada yang sudah mula boleh didekati serta makan makanan ditangan.

“Saya tidak melihat usaha ini dari aspek komersial sangat, sebaliknya sebagai terapi dan hobi selain mampu menyumbang kepada usaha mengelak spesis in pupus sehingga generasi akan datang tidak boleh melihatnya lagi,” katanya yang merupakan satu-satunya orang awam yang diberikan permit untuk memelihara kijang oleh Perhilitan di negara ini setakat ini.

Menurutnya dia mengamalkan sikap terbuka dan membuka pintu kepada orang ramai terutama golongan muda yang ingin melihat secara dekat haiwan yang dipeliharanya itu, namun buat sementara waktu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan orang ramai tidak dibenarkan melawat sehinggalah keadaan kembali normal nanti.


Wakaf Serendah RM20 Per Lot

Bagi menampung kos pembinaan Madrasah Tahfiz Nurul Imah, Juaseh, Labis.

Labis : Pengurusan Madrasah Tahfiz Nurul Iman Kampung Juaseh memerlukan kira-kira RM250,000 tambahan  bagi menampung kos menyiapkan Madrasah perempuan tahfiz tersebut yang sedang dalam pembinaan.

Pengerusinya, Mohd. Khair Mean berkata, orang ramai yang berhasrat untuk membantu boleh berwakaf dengan nilai RM 20 setiap lot bagi melancarkan pembinaan madrasah tersebut untuk menampung permintaan tinggi kemasukan pelajar perempuan yang semakin bertambah sejak kebelakangan ini.

“Pembinaan madrasah yang bakal menempatkan pelajar perempuan itu sudah berjalan sekitar 30 peratus dan apabila siap nanti dijangka mampu menempatkan sehingga 40 pelajar dengan segala kemudahan asas. Ketika ini terdapat 14 pelajar perempuan yang ditempatkan di sebuah rumah berhampiran yang disewa oleh pihak pentadbiran.

Pembinaan madrasah perempuan Tahfiz Nurul Iman Kampung Juaseh, Labis.

“Disebabkan masalah penempatan, kami terpaksa menghadkan kemasukan pelajar perempuan ketika ini walaupun mendapat permohonan yang tinggi,” katanya ketika ditemui di Madrasah Tahfiz Nurul Iman Kampung Juaseh, Labis di di sini.

Katanya, mereka yang bermurah hati bolehlah menyalurkan sumbangan mereka secara terus ke akaun semasa Bank Rakyat bernombor akaun 11-059435-4 dan akaun semasa Maybank bernombor 551119121703.


Secara keseluruhannya madrasah tahfiz tersebut yang memulakan operasi pada tahun 2016 dengan pengambilan hanya pelajar lelaki ketika itu mempunyai 37 pelajar lelaki dan 14 pelajar perempuan yang kemasukannya  bermula tahun 2019.Terdapat enam tenaga pengajar di tahfiz tersebut masing-masing empat guru lelaki dan dua perempuan yang bertanggungjawab terhadap semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti mana yang ditetapkan.”Saya berharap bangunan dua tingkat yang berkeluasan kira-kira 4,000 kaki persegi ini dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini bagi membolehkan pengambilan lebih ramai pelajar perempuan pada sesi tahun hadapan.

Madrasah Tahfiz Nurul Iman Kampung Juaseh, Labis yang menempatkan pelajar lelaki.

“Kami tidak menghadapi masalah bagi menempatkan pelajar lelaki kerana terdapat madrasah dua tingkat yang lengkap dengan kemudahan asas bagi menempatkan mereka sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Bagi mendapatkan keterangan lanjut, orang ramai boleh berhubung terus dengan Mohd. Khair sebagai pengerusi ditalian 019-7426309 atau Ramzan Sanusi selaku mudir ditalian 011-10786223 serta bendahari Siti Norizah Mohd Asrab ditalian 013-7982858.


Lebih 30 pembeli Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Labis berdepan risiko diusir keluar

LABIS : Lebih 30 pembeli Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Labis berdepan risiko diusir oleh pemilik asal gara-gara kecuaian Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Negeri Johor yang menjual unit kediaman yang sudah dijual dan didaftarkan hak milik atas nama individu lain sebelum menjual semula buat kali kedua kepada mereka pada tahun 2002.

Salah seorang pembeli, Faridah Atan, 50, ketika ditemui menjelaskan secara perundangan bahawa dia tidak mempunyai hak ke atas rumah tersebut yang dibelinya daripada kerajaan negeri Johor dengan harga RM20,000 pada tahun 2002 walaupun terpaksa menjelaskan hutang pembiayaan bank kerana secara jelas hak milik rumah yang didudukinya itu didaftarkan atas nama individu yang tidak dikenali sejak tahun 1990.

“Saya hanya mengetahui masalah ini ketika menerima surat tuntutan tunggakan cukai tanah atas nama individu lain yang tidak dikenali daripada Pejabat Tanah Labis sekitar tahun 2004, ekoran daripada itu saya bertindak membuat carian persendirian di pejabat tanah dan ternyata hasil carian yang diperolehi menunjukkan pemilik yang tercatat di geran rumah saya adalah individu lain yang tidak pernah saya kenali.

Faridah Atan menunjukkan surat perjanjian jual beli antara dia sebagai pembeli dan kerajaan negeri Johor sebagai pemaju.

“Masalah ini telah pun dipanjangkan ke pengetahuan pihak SUK Perumahan negeri Johor, Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, termasuk Menteri Besar sebelum ini namun selepas lebih 10 tahun tiada sebarang perkembangan positif dan usaha kami menuntut hak kami tidak ubah bagai ‘membuang batu ke laut’ dan tidak mendapat perhatian sewajarnya dari kerajaan negeri sebagai pemaju projek perumahan ini,” katanya ketika ditemui di Perumahan Awam Labis.

Katanya, adalah mustahil kerajaan negeri sebagai pemaju mengambil masa hampir 20 tahun dimana sudah tiga kerajaan negeri dengan lima kali pertukaran Menteri Besar sepanjang tempoh tersebut namun gagal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pembeli sedangkan punca kepada masalah yang berlaku adalah disebabkan kecuaian agensi kerajaan negeri sendiri.

Menurutnya lebih malang lagi terdapat pembeli yang sudah melunaskan pinjaman pembiayaan tetapi gagal mendapatkan dokumen hak milik sama ada disebabkan oleh perbezaan nama peminjam dan nama yang didaftarkan sebagai pemilik, selain pihak bank tidak menyimpan dokumen hak milik sebagai cagaran.

“Persoalannya bagaimana pihak bank boleh meluluskan pinjaman pembiayaan kami sedangkan hak milik sudah pun didaftarkan atas nama individu lain yang juga telah mencagarkan rumah yang sama untuk mendapat pembiayaan terlebih dahulu sebelum kami.

“Pendek kata pihak bank meluluskan dua pinjaman pembiayaan untuk sebuah rumah atas nama yang berbeza dan perkara ini diharap mendapat perhatian pihak berwajib untuk meneliti apakah terdapat sebarang unsur salah guna kuasa atau sesuatu yang tersembunyi,” katanya.

Lebih malang lagi katanya, terdapat juga kes dimana salah seorang pembeli atau pemilik berdaftar asal yang telah didaftarkan telah meninggal dunia menyebabkan usaha penyelesaian semakin sukar.

Zainal Abidin Abdullah, 56, pula selain menghadapi masalah sama turut berdepan masalah lain dimana pihak SUK Perumahan Johor menuntut baki tunggakan berjumlah RM12,994 secara sekaligus sedangkan sebelum ini pihak SUK sudah bersetuju agar pembeli yang gagal mendapatkan pembiayaan bank dibenarkan membuat bayaran secara ansuran tanpa faedah dengan kadar RM200 sebulan secara terus kepada pihak SUK Perumahan Johor.

Zainal Abidin Abdullah menunjukkan notis tuntutan tunggakan dari SUK Perumahan Johor.

“Sebelum ini saya dan rakan lain membayar mengikut jadual kepada pegawai SUK Perumahan yang datang setiap bulan dan sejak dua tahun kebelakangan ini pegawai tersebut tidak muncul dan dalam masa sama kami dimaklumkan pembayaran ditangguhkan ekoran pihak SUK Perumahan sedang mengemaskini dokumen.

“Baru-baru ini kami menerima notis tuntutan keseluruhan baki tunggakan yang perlu dijelaskan sekaligus dari SUK Perumahan Johor dan jika kami gagal melunaskannya rampasan akan dilakukan.Kami menyifatkan tindakan ini tidak adil kepada kami,” katanya.

Dalam masa sama dia turut mengesa agar pihak kerajaan negeri selaku pemaju bertanggungjawab terhadap segala kesulitan yang berlaku dan menyifatkan pihak berwajib tidak serius untuk menyelesaikan masalah tersebut memandangkan sudah hampir 20 tahun berlalu tanpa sebarang penyelesaian.


error: