Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Dr. Khairunneezam Mohd Noor

 

Kaedah mengatur tabiat makan anak-anak

KECENDERUNGAN kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu (junk food) sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan tidak sihat. Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan tertarik dengan iklan-iklan makanan segera berjenama terkenal yang menggiurkan. Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan mudarat. Begitu juga dengan kandungan lemak tidak tepu, gula dan garam yang tinggi ditambah lagi kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak. Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah lagi mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat. Ada juga ibu bapa yang beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak pil-pil vitamin yang boleh dibeli untuk anak-anak di pasaran. Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplemen seperti ini.

Menurut Coughlin (2013) dalam penulisan jurnalnya bertajuk ‘Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence‘, terdapat tiga faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat. Pertama, apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah. Misalnya melambakkan sebegitu banyak stok makanan ringan, gula-gula atau air berkarbonat di dapur sekadar tujuan untuk dinikmati secara ringan sambil bersantai menonton televisyen. Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat. Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak, yogurt atau pun kismis.

Faktor kedua, keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran. Kadang kala, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa untuk makan satu-satu jenis makanan sahaja. Ia akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa. Maka ibu bapa harus bijak mempelbagaikan jenis atau cara masakan yang disajikan sama. Yang pentingnya, khasiat makanan tetap terpelihara dan memberi faedah kepada perkembangan tubuh badan dan mental anak-anak. Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng seperti mana yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.

Faktor ketiga pula adalah emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan. Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka.

Piramid Makanan digunakan sebagai panduan dalam penyediaan makanan sihat.

Piramid Makanan digunakan sebagai panduan dalam penyediaan makanan sihat.

The American Academy of Peadiatrics misalnya mencadangkan beberapa perkara dalam menyusun-atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak-anak yang sihat. Banyak ibu bapa yang risau anak-anak mereka makan mungkin terlalu sedikit atau terlalu banyak. Maka, untuk mengelak kerisauan dan membimbing anak-anak makan dengan betul, kedua-dua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing. Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan pilihan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam) dan makan ringan seperti minum petang. Ibu bapa menentukan apa untuk dimakan, di mana dan bila. Tanggungjawab anak-anak pula untuk memilih berapa banyak mereka perlu makan makanan yang disediakan ibu bapa. Kaedah ini mungkin mengambil masa jika ia baru hendak dipraktikkan, namun ia akan membentuk disiplin makan yang baik untuk anak-anak di mana mereka memperoleh jumlah makanan berkhasiat yang sepatutnya, pada waktu yang tepat dan tempat yang betul. Ibu bapa sendiri patut mengamalkan tabiat pemakanan harian yang sihat supaya anak-anak akan melihat dan mengikutnya sebagai contoh yang baik.

Begitu juga ibu bapa yang merokok perlu seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada merokok di hadapan anak-anak, atau lebih baik lagi berhenti terus daripada merokok. Membuat aktiviti fizikal dan jasmani secara tekal dan kerap bersama anak-anak akan membantu mereka menjadi sihat. Senaman yang dilakukan mampu membakar kalori yang diambil dalam makanan, mengeluarkan toksik di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga. Makan secara bersama-sama dalam keluarga sekerap mungkin. Sediakan menu makanan yang menarik, pelbagai dan segar. Dalam sesi makan seperti inilah ibu bapa dan anak-anak lebih mudah untuk mendapatkan kata sepakat tentang tabiat pemakanan dan jenis makanan yang baik untuk seisi keluarga. Jika mampu, bawa anak-anak berjumpa pakar pemakanan atau ke pusat kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya. Kadang kala, anak-anak akan lebih terpengaruh dan mempercayai kata-kata seorang doktor berkaitan tabiat makan yang betul daripada nasihat ibu bapanya. Namun ia bukanlah satu isu yang besar, asalkan anak-anak dapat terus sihat dan membesar dengan normal dan baik.

Kesimpulannya, jika tabiat makan anak-anak tidak diselaraskan dan dikawal sebaiknya oleh ibu bapa, dikhuatiri mereka akan mudah menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa pendek mahu pun panjang. Pemilihan makanan yang tepat turut mampu membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat. Duit tidak dibazirkan membeli makanan yang tidak berkhasiat lagi ‘beracun’, bahkan jimat daripada terpaksa membayar bil-bil perubatan kerana keadaan ahli keluarga sakit dek tabiat makan yang buruk. -KMN-


Sambutan Valentine’s Day bukan cara Islam

“Sempena Hari Kekasih 14 Februari nanti, abang nak sambut dengan sayang sebagai tanda betapa dalamnya cinta abang kepada sayang”.

“Terima kasih abang, Valentine’s Day ini adalah hari paling istimewa untuk sayang.”

Dialog sebegini mungkin biasa  kita dengari atau ucapkan sendiri dalam kalangan pasangan suami isteri mahu pun pasangan kekasih yang mahu ‘membuktikan’ taat setia dan kecintaan sempena sambutan Valentine’s Day. Kebelakangan ini, menjelang tarikh 14 Februari, seakan tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang. Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang sudah memasang niat untuk meraikannya. Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.

Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalan yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.”

Buku Elak Sambut Valentine’s Day terbitan Jakim membincangkan secara lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine. Berdasarkan fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat Islam perlu elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan memahami apakah maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi sebuah perayaan. Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology dand History of First Name).

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine. Ada tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa dan dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada malam pesta berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada waktu itu Raja Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terbabit dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St Valentine ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan. Pendapat ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.

Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St Valentine adalah paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.

Gambar Hiasa

Gambar Hiasan

Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine adalah perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian. Malah jika merujuk kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual dalam agama Kristian. Laman web Spiritrestoration,org : The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan – indeks Saint Valentine’s Day menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman sekular. Termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: ‘sekurang-kurangnya ada tiga orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.’

Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekali gus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam. Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain. Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6) Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariat Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Untuk itu, sebagai umat Islam berhati-hatilah. Adakalanya akidah kita terlalu mudah untuk dirapuhkan dengan perkara-perkara sekecil sambutan Valentine’s Day seperti ini. Tidak perlu pun mempunyai hari khas untuk meluahkan rasa kasih dan sayang kepada pasangan kita yang halal, bahkan kasih dan sayang itu harus diterbitkan sepanjang saat, sepanjang hari, sepanjang masa, dan sepanjang hayat hanya kerana Allah SWT. Semoga kita tidak terjerat dengan segala sesuatu yang boleh mencalarkan amalan baik kita dan kita dilindungi Allah dari kesesatan dan kekufuran. Wallau a’lam -KMN-


Tahukah anda, tidur sebentar di pejabat banyak faedahnya?

SESETENGAH daripada kita menganggap bahawa lelap atau tidur sebentar pada waktu siang adalah sifat orang yang malas. Tidak kurang juga yang berandaian bahawa rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan. Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa tidur sebentar pada waktu siang merupakan suatu amalan harian yang telah dipraktikkan oleh masyarakat di negara-negara Barat mahupun umat Islam sejak dahulu. Ia dianggap sebagai praktis berkesan untuk menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai power nap. Menyedari pentingnya isu itu telah menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat beberapa tahun lalu membangunkankan National Sleep Disorder Association sebagai agensi khas untuk mengkaji dan mempromosikan akan kesan positif tidur di waktu siang kepada semua pihak terutama para pekerja.

Sebagai golongan pekerja dalam pelbagai sektor, perkara ini perlu diambil perhatian walaupun budaya tidur sekejap di waktu siang ini belum begitu popular di negara kita. Bayangkan daripada pagi hinggalah ke petang kita terlalu terfokus kepada tugasan dan kerja sehingga kita lupa untuk memberikan tubuh badan dan minda waktu rehat yang optimum dengan kaedah yang tepat. Banyak kajian yang telah dilaksanakan oleh para sarjana dalam mengkaji akan kesan tidur sebentar di waktu siang. Mereka juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang memberikan fakta tentang kebaikan tidur di waktu siang ini. Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti The Art of Napping at Work karya Anthony dan Anthony, Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping oleh Dinges dan Broughton dan sebagainya. Para sarjana ini cuba menghimpunkan bukti-bukti secara saintifik tentang kebaikan tidur sebentar di waktu siang terutamanya bagi para pekerja dalam mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap. Telah dibuktikan secara saintifik bahawa waktu tengah hari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika. Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari, berbual-bual kosong dengan rakan-rakan, melayari Internet dan sebagainya. Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat setelah berjam-jam keletihan akibat dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.

Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengah hari yang mana ia boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah. Fasa tengah hari ini dipanggil oleh para sarjana sebagai fasa kelesuan pada pertengahan hari. Tempoh untuk tidur pula dikatakan mencukupi dalam lingkungan 30 hingga 40 minit. Ini adalah kerana waktu tidur yang berlebihan pula akan menyebabkan gangguan kepada tubuh badan yang akan menjadi lesu dan malas untuk bekerja semula. Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot-otot yang digunakan secara aktif semasa bekerja sejak pagi.

Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stres sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif, berkesan dan efisien menganjur ke petang hari. Daripada perspektif Islam, tidur di waktu siang turut diiktiraf sebagai salah satu amalan yang baik. Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa ‘hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari’. Tidur sekejap di waktu siang bertujuan untuk menyegarkan semula bukan sahaja jasmani, malah rohani seseorang untuk beramal ibadah dan melaksanakan rutin hariannya.

Atas kesedaran tentang implikasi positif daripada tidur sekejap di waktu siang ini, banyak organisasi di Barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkannya. Sehingga ke satu tahap, dikatakan terdapat majikan yang menyediakan ruang yang khas untuk tidur sementara (yang lengkap dengan kerusi malas, kusyen, tuala muka dan haruman) bagi para pekerjanya selain daripada pantri atau kantin untuk makan. Majikan atau pengurusan organisasi diharapkan faham akan keperluan rehat para pekerja. Cuba elakkan untuk mengadakan mesyuarat atau memberi sebarang tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat tengah hari mereka. Begitu juga dalam kalangan pekerja yang perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan-rakan yang tidur di pejabat dan tidak memberikan banyak masa untuk makan atau bersosial pada waktu rehat.

Begitu juga dengan para pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan yang perlu faham dan tidak bersungut apabila sesetengah kaunter ditutup untuk memberi ruang rehat seadilnya kepada semua pekerja. Mungkin amalan tidur sekejap sebegini belum kelihatan praktikal dan janggal dalam kalangan warga pekerja di negara kita. Pun begitu, pokok pangkalnya sebagai orang yang bekerja kita boleh cuba untuk mengadaptasi amalan tidur sekejap ini yang telah terbukti keberkesanannya dalam mengekalkan kecergasan dan kecerdasan diri. Sebagai pekerja, jika fizikal, mental dan emosi kita dapat direhatkan sebentar pasti kita dapat mengekalkan prestasi kerja yang baik sehingga ke minit terakhir kita bekerja sehari-harian. -KMN-


Membanteras judi secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah

BERJUDI adalah satu jalan singkat yang salah untuk mengejar kekayaan dan wang ringgit. Judi atau “al-maisir” ditafsirkan sebagai suatu bentuk permainan beradu nasib yang menggunakan wang atau harta benda sebagai taruhan dan pemenang pertaruhan akan mendapat hasil berlipat kali ganda.

Perjudian amnya dimainkan dalam pelbagai bentuk. Antaranya menggunakan dadu dan daun terup, tikam, loteri, pertaruhan permainan sukan, mesin slot atau nombor ekor. Lebih canggih lagi, mutakhir ini berjudi turut boleh dilaksana dengan mudah melalui internet.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan membuat tinjauan secara langsung berkenaan perangai keji tahi judi yang mengunjungi sebuah premis menjual nombor ramalan di tengah-tengah Bandar Segamat, dan melihat sendiri masih ramai umat Islam yang ghairah mengunjungi premis perjudian itu. Walaupun tertera jelas di hadapan kaunter premis nombor ramalan peringatan bahawa ‘Umat Islam adalah dilarang memasuki premis ini’ dan pernyataan ‘Berjudi adalah haram di sisi Islam’, namun tidak diendahkan pengunjung beragama Islam ini.

Kira-kira sejam kajian itu, daripada 26 orang pengunjung, 14 daripadanya diyakini beragama Islam. Secara statistiknya, pengunjung kedai nombor ramalan yang beragama Islam dalam tempoh sejam ini melebihi 50 peratus. Lebih memilukan, sesetengah mereka yang kental mengunjungi premis perjudian ini boleh dikategorikan sebagai warga emas yang ada kala membawa bersama cucu mereka singgah untuk membeli nombor atau bertaruh tanpa ada perasaan malu dan segan.

Apabila berjudi, seseorang tidak perlu mengerah keringat dan tulang empat kerat. Bahkan modal yang diperlukan tidaklah besar. Bak kata orang, goyang kaki pun boleh dapat hasil lumayan. Inilah antara faktor yang menyemarakkan semangat kaki judi untuk terus terjebak dengan gejala buruk itu. Apatah lagi, jika pernah sekali dua ‘tuahnya terkena’ dan menang sejumlah wang, bertambah galak dan bersemangatlah si kaki judi melaburkan wangnya ke premis judi kononnya untuk mengaut keuntungan lebih besar lagi.

Jika si kaki judi beranggapan judi adalah satu bentuk usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan, mereka sememangnya silap kerana matlamat tidak akan sesekali menghalalkan cara. Demi mengejar sesuatu matlamat, kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh, menggunakan saluran yang betul dan mengerah sepenuh akal fikiran dan tenaga. Islam meletakkan keutamaan kepada pencarian rezeki dan nafkah hidup yang bersih lagi halal. Bukannya mencari jalan singkat mengumpul harta melalui judi yang hukumnya adalah haram daripada perspektif Islam.

Islam menegah umatnya daripada bergelumang dengan perjudian yang ternyata bersifat keji dan amalan warisan syaitan.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Maidah: 90-91).

Dari segi akhlak, seseorang kaki judi akan menjadi lalai beramal ibadah, malas berusaha, tamak dan haloba, iri hati, dendam, khianat, suka berhutang, membazir, bercakap bohong dan berputus harap kepada Allah. Apabila penyakit berjudi semakin kronik membelenggu, kaki judi sanggup pula menggadaikan akidah dengan melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah seperti menilik nasib, memuja kubur, mendapatkan bantuan bomoh atau memakai azimat. Buktinya seperti ditunjukkan seorang pengunjung kedai nombor ramalan yang kelihatan mencium-cium sebentuk batu yang dibuat rantai berkali-kali sebelum dan selepas memasuki premis perjudian sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.j

Perbuatan syirik seperti ini dimurkai Allah dan akan menerima balasan setimpal dengan perbuatan terkutuknya. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengampunkan dosa orang yang menyekutukan-Nya dan dia akan mengampunkan dosa selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya.” (Surah an-Nisa’: 48) Andai kata, seseorang meraih hasil daripada perjudian, ketahuilah ia adalah sumber yang haram dan tidak diberkati Allah.

Maka kesan seterusnya yang terpaksa ditanggung akibat berjudi adalah ahli keluarga sendiri. Apabila rezeki haram disogok ke mulut isteri serta anak dan sebati menjadi darah daging mereka, tidak mustahil kesan negatif akan terserlah sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang. Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita harus membendung gejala judi secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat merentasi pelbagai umur. Mereka harus dibimbing dan dikawal dari usia muda untuk tidak berjinak dengan dunia perjudian serta sedar akan kesan buruknya.Wallahua’lam. -KMN-


error: