Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Dr. Khairunneezam Mohd Noor

 

Usaha Pendidik Dalam Pembinaan Negara Bangsa Dari Perspektif Islam

Pendidik merupakan seseorang yang sangat mulia, bahkan dimuliakan di sisi agama Islam. Sesiapa yang memuliakan pendidik bererti ia memuliakan Rasulullah SAW, sesiapa yang memuliakan Rasulullah SAW bererti memuliakan Allah SWT, dan sesiapa memuliakan Allah SWT, maka syurgalah tempat kediamannya di akhirat kelak.

Dalam kitabnya ‘Ihya’ `Ulum al-Din’ karangan Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu, dan salah satu daripadanya adalah memuliakan pendidik lantaran saratnya ilmu dan kebijaksanaannya yang memberikan manfaat kepada kehidupan anak-anak muridnya.

Begitu mulia darjat seorang pendidik di sisi agama, namun tidak sesekali seorang pendidik itu memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya secara materialistik. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan terbilang pencapaian akademiknya dan akhirnya mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Kerjaya sebagai pendidik ini mempunyai nilainya yang unik dan tersendiri. Menjadi pendidik bukanlah tugas yang mudah dan menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi. Ini adalah kerana pendidik merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.

Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehinggalah kepada formula saintifik dan teks kesusasteraan, para pendidik tidak akan jemu-jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah. Begitu juga peranan pendidik sangat-sangat signifikan dalam usaha membentuk dan membina konsep negara bangsa dalam kalangan generasi pelapis negara di masa hadapan.

Menurut takrifan Kamus Dewan, konsep ‘Negara Bangsa’ didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Ini selanjutnya memberikan maksud bahawa pembinaan negara bangsa pula adalah merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dalam kalangan semua penduduk sesebuah negara yang merentasi kepelbagaian jati diri etnik, agama, dan budaya.

Gambar sekadar hiasan ehsan Google

Gambar sekadar hiasan ehsan Google

Natijahnya, melalui konsep negara bangsa ini, semua masyarakat mendukung satu bangsa dan satu negara yang tegak di atas satu identiti negara yang sama yang dimanifestasikan oleh pemikiran, nilai-nilai sosio-budaya, lambang-lambang dan sentiasa berpegang kepada jiwa kemanusiaan dan kerohanian yang tinggi.

Pembentukan bangsa Malaysia boleh diukur dari tiga perspektif utama iaitu, pertama melalui aspek kenegaraan, kedua adalah aspek kewarganegaraan dan yang ketiga adalah aspek kebangsaan.

Konsep kenegaraan perlu ditanam dan dipupuk dalam diri setiap rakyat negara itu demi keutuhan negara sebagai kumpulan sosial. Semangat kenegaraan ini boleh ditanam melalui simbol-simbol yang mewakili keutuhan negara seperti bendera Malaysia, lagu kebangsaan, Rukun Negara, dan sebagainya.

Konsep kewarganegaraan pula dapat diperjelaskan bahawa bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain dapat disatukan melalui kewarganegaraan yang sama iaitu warganegara Malaysia. Untuk itu, dalam usaha membentuk jatidiri negara bangsa dalam kalangan anak-anak murid, seorang pendidik itu perlu memikirkan apakah agaknya martabat kependidikan yang ingin ditonjolkan dalam kerjaya mereka.

Seperti mana dalam pandangan bijak pandai Islam, terdapat empat martabat pendidik atau pendidik. Pertama, sebagai Mudarris atau pendidik yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja. Kedua, sebagai Mu’allim yang bermaksud pendidik yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain. Ketiganya Mursyid yang bermaksud pendidik yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar. Akhirnya, martabat pendidik yang keempat, Murabbi yang bermaksud pendidik yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

Sebagai seorang pendidik yang realistik keempat-empat ciri di atas hendaklah difahami dan dihayati di dalam kehidupannya sebagai  pendidik dan jika tugas ini dapat direalisasikan dalam pendidikannya maka kedudukan seseorang pendidik itu sungguh mulia dan diyakini akan memberikan kesan yang sangat positif dalam usaha pembentukan negara bangsa dalam kalangan anak-anak murid yang bakal mencorak kepemimpinan negara pada masa hadapan.

Sesungguhnya, peranan pendidik dalam pembinaan negara bangsa adalah sangat penting dan relevan kerana mereka sangat dekat dengan jiwa anak-anak bangsa. Untuk negara mencapai tahap kemajuan yang berperadaban tinggi dan pembinaan negara-bangsa yang bersepadu berlandaskan acuannya yang tersendiri negara memerlukan strategi dan pelan pembangunan yang baru mengikut kesesuaian zaman dan masa.

Di sinilah daya upaya pendidik sebagai agen perubahan yang berkesan perlu dititikberatkan kerana strategi pembangunan negara bukan hanya setakat memfokuskan kepada pembangunan material dan pendidikan semata-mata, tetapi ia harus seiring dengan pendidikan dan pembangunan spiritual dan rohani setiap isi rakyat di Malaysia agar kemajuan dapat dicapai dan dinikmati oleh generasi masyarakat Malaysia di masa akan datang.

Penulis ialah anak jati Gemereh, Segamat dan berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan dalam Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.


Budaya ‘Minum’ Kakitangan Kerajaan

Sebagai kakitangan awam kita harus membuang jauh-jauh sifat mementingkan diri dan amalan-amalan negatif yang mampu mencalarkan nilai integriti dan merendahkan keberkesanan perkhidmatan seperti merasuah, curi tulang, ponteng kerja, birokrasi, dan sebagainya.

Tidak ketinggalan amalan keluar minum yang nampaknya masih begitu kental menghantui diri kita sebagai kakitangan awam.

Sebagai pelanggan atau orang awam, mungkin ada dalam kalangan kita selalu merungut-rungut dan berasa meluat mendengar alasan ‘pegawai sedang minum’ apabila ingin menyelesaikan urusan penting dengan sesetengah jabatan kerajaan. Apatah lagi bila kita sedang dihambat masa dan sesuatu urusan itu hanya memerlukan tempoh yang singkat untuk diselesaikan.

Bertambah sakit hati lagi apabila datang berurusan pada waktu pagi, diminta oleh pegawai di kaunter untuk datang pada sebelah petang, dan apabila datang pada sebelah petang, diminta untuk datang pada keesokan harinya semata-mata kerana pegawai pergi minum.

Budaya keluar minum dalam kalangan kakitangan awam ini sememangnya masih galak berlaku. Cubalah jenguk restoran, warung dan kafetaria yang berhampiran dengan pejabat-pejabat kerajaan dalam hari-hari bekerja. Boleh dikatakan bahawa tempat-tempat makan ini memang tidak akan sunyi dengan pelanggan yang turun minum, rata-ratanya kakitangan awam.

Tidak menjadi keanehan juga jika kita bertemu dengan sebilangan kakitangan awam yang berkali-kali datang ke kedai makan hanya untuk minum sambil bergebang membuang masa!

Tiada salahnya untuk berehat seketika pada waktu bekerja. Daripada perspektif saintifik, diakui bahawa penggunaan domain-domain afektif (perasaan dan emosi), psiko motor (fizikal) dan kognitif (pemikiran) seseorang itu mempunyai had-hadnya. Ia perlu disegarkan semula dengan cara berehat seketika untuk mengelakkan unsur-unsur negatif berlaku seperti stres dan kelesuan.

Namun, yang silapnya apabila keperluan dan kelonggaran untuk berehat itu disalahgunakan seterusnya mengganggu kelancaran urusan pejabat terutamanya jika berurusan dengan pelanggan secara langsung.

Itu sebabnya apabila diajukan persoalan tentang fenomena waktu minum dalam kalangan kakitangan kerajaan ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal melahirkan rasa kurang senangnya dan mahukan mekanisme kawalan dan tindakan proaktif diambil oleh semua pihak.

Kakitangan awam perlu sentiasa tepat pada masanya dan mengutamakan pelanggan bukannya membuang masa dengan berbual-bual perkara tidak berfaedah di kedai makan sehingga boleh menimbulkan prasangka buruk daripada masyarakat.

Sesungguhnya, sebagai kakitangan awam, kita perlu mengingatkan diri kita bahawa tugas yang dipikul di bahu kita ini adalah suatu amanah yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat.

Akan peri pentingnya sifat amanah ini disebutkan dengan jelas melalui Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfaal, ayat 27, bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).’

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda, ‘Ketahuilah! Tidak beriman bagi sesiapa yang tidak amanah.’ Bukan sekadar tidak beriman bahkan tergolong dalam golongan orang munafiklah adanya bagi orang yang tidak amanah.

Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis lain:

 Ada tiga tanda munafik, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.

Mengkhianati amanah dengan menghabiskan banyak masa dengan minum atau membuat kerja tidak berfaedah bermaksud kita makan gaji buta. Bila makan gaji buta ia akan menyentuh pula persoalan apakah gaji yang diterima itu setimpal dengan kerja dan usaha yang dilaksanakan?

Bahkan perlu juga difikirkan adakah ianya halal untuk digunakan bagi menyara kehidupan diri, isteri dan anak-anak? Bila sumber haram menjadi tunjang menyara kehidupan, maka keberkatan hidup itu secara automatiknya ditarik oleh Allah SWT dan mengundang akan berlakunya gejala-gejala negatif dalam diri seseorang dan kelangsungan hidup keluarga yang disaranya.

Demi membendung budaya minum pagi yang mencacatkan kesempurnaan perkhidmatan jabatan kerajaan ini, semua pihak sebenarnya perlu melaksanakan perubahan. Pihak pengurusan dalam jabatan-jabatan kerajaan perlu mewujudkan dan mengaktifkan penggunaan pantri dalam pejabat.

Peralatan paling asas untuk memasak air, memanaskan makanan dan menyimpan makanan boleh disediakan seperti cerek, ketuhar gelombang mikro, peti sejuk dan sebagainya.

Dicadangkan juga agar ketua-ketua jabatan tegas mengatur waktu rehat dan minum para pekerjanya agar perjalanan perkhidmatan dan operasi pejabat tidak terganggu. Dengan cara ini, produktiviti dan kualiti perkhidmatan kakitangan awam akan tetap mantap sepanjang hari dan urusan pelanggan berjalan lancar kerana akan sentiasa ada pegawai atau kakitangan yang berada di kaunter atau di pejabat.

Jika ada kakitangan yang masih kerap keluar minum dan membuang masa kerjanya, maka menjadi peranan ketua jabatan dan rakan-rakan sekerja untuk menegur dan memperingati mereka agar mengubah sikap dan memberi fokus terhadap tugas.

Sebagaimana yang diamalkan oleh sebilangan organisasi, para pekerjanya menyumbangkan sedikit wang dan berkongsi membeli makanan dan minuman ringan untuk diletakkan di pantri. Ada juga dalam kalangan pekerja yang sama-sama membawa ‘pot-luck’ dari rumah masing-masing dan bertukar-tukar juadah makanan di pantri pejabat.

Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa untuk berjalan dan melepak di kafeteria, bahkan menjimatkan kantung poket daripada membelanjakan duit membeli air dan makanan di kafetaria. Begitu juga, silaturrahim sesama rakan sekerja dapat dieratkan.

Kesimpulannya, perubahan sikap dalam hal keluar minum ini perlu dimulakan dan seterusnya dikekalkan. Kita tidak mahu orang awam berterusan berpegang kepada stigma  ‘pegawai kerajaan suka keluar minum’.

Jika kita benar-benar berpegang kepada konsep mencari pendapatan halal dan beramanah seperti mana yang digariskan syariat Islam, pasti kita akan berjaya mengubah sikap negatif sebegini. Barulah boleh kita nanti layak dipanggil sebagai kakitangan awam yang berintegriti, produktif dan memiliki minda kelas pertama.

Penulis ialah anak jati Gemereh, Segamat dan berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan dalam Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Tugas guru martabatkan profesion keguruan

MASIH kental lagi tersemat di dalam kotak pemikiran penulis akan pengalaman menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun yang lalu terutamanya ketika menyambut sambutan Hari Guru pada tahun tersebut.

Pada ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru-guru lain membacakan ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu Guru Malaysia dalam majlis perhimpunan, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan ini mempunyai nilai yang unik dan tersendiri.

Teringat juga kenangan manis apabila air mata ini begitu mudah mengalir apabila ada anak murid miskin yang bersusah payah mencarikan ‘hadiah’ sebagai ucapan terima kasih sempena sambutan Hari Guru ini.

Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.

Begitu jua dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid. Lantaran itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan anak-anak murid.

Namun, tidak semua pihak terutamanya ibu bapa dan anak-anak murid itu sendiri yang faham akan niat murni para guru, lantas mengambil pelbagai tindakan yang ‘terburu-buru’ dengan menghukum dan mengheret guru ke muka pengadilan.

Itu adalah antara cabaran yang perlu ditempuh oleh guru zaman sekarang dan guru perlu terus menguatkan azam, menunjukkan wibawa diri dalam usaha memartabatkan profesion keguruan mereka.

Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom terdapat lima fokus yang diharapkan mampu mengekalkan kejayaan dan kegemilangan dalam karier seseorang guru.

Pertamanya, kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi ‘ensiklopedia bergerak’ yang dijadikan sumber rujukan dalam bidang masing-masing. Bukan sahaja anak murid, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.

Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun dengan baik berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi role-model kepada anak-anak muridnya. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.

Ketiga, kemurnian akhlak seseorang guru itu turut menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki towering personality ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata yang melihat keperibadian mereka.

Keempat, dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang tidak dapat tidak, perlu dihadapi dan ditangani oleh guru.

Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut “sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru.”

Ujarnya lagi, “Menjadi cikgu pula ibarat meletakkan ‘roh’ guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.”

Nyatanya, selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan akan budi dan jasa guru-guru kita.

(Artikel ini pernah disiarkan di ruangan Rencana Utusan Malaysia pada 16 Mei 2008)


Kaedah Islam Dalam Menangani Stres Di Tempat Kerja

DUNIA pekerjaan memang memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.

Tekanan kerja jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti kerja dan motivasi, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri. Tekanan disebabkan pekerjaan adalah interaksi kompleks antara persekitaran tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan serta mental seseorang.

Persekitaran pekerjaan memberikan desakan serta tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal. Tugas terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua suka marah dan suasana kerja tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif.

Tekanan itu seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu jika tidak ditadbir atau tidak dikawal dengan metodologi tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan dan hilang tumpuan adalah antara kesannya. Kadang kala ada di kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok atau perkara dilarang.

Berlaku juga kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah dengan mendera anak atau ke tahap melampau sehingga mahu membunuh diri.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam. Islam menganjurkan mereka yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah.

Allah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156).

Seperti ketentuan Allah, setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan. Kita harus menerima hakikat kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah. Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya. Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan.

Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat. Banyak kajian pakar psikologi Barat sendiri yang memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat adalah suatu tempoh masa ‘aman dan damai’ di mana seluruh tubuh dan minda seseorang tertumpu kepada sesuatu (kepada Allah). solatGerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan. Solat turut membantu memberi kesan positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung dan gelombang otak. Daripada konteks Islam, mendirikan solat fardu lima waktu, dilengkapkan dengan amalan solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah dalam sebarang kesukaran. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153).

Keduanya, dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid dan bertasbih adalah amalan yang mampu menenangkan jiwa seperti jaminan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28).

  Ketiga, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda.” (Hadis riwayat Bukhari) Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan kerana al-Quran dan hadis adalah sumber teragung merungkaikan segala permasalahan.

Keempat, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jugalah tempat yang kekal selamanya. Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa saja yang berlaku di dunia ini baik yang positif ataupun negatif sekadar warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama dan akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak. Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelima, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang sudah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Ghaafir, ayat 60).

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar ia boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam. -KMN-


5 strategi atasi tabiat lengahkan kerja

Dr. Norman Vincent Peale, seorang menteri yang ternama, penulis yang prolifik (bukunya yang hebat bertajuk “The Power of Positive Thinking”) serta juga seorang pemidato, mengaku melakukan perlengahan kerja adalah sukar untuk mencapai kejayaan. Berdasarkan kepada pengalamannya sendiri, apabila melibatkan dirinya dalam projek yang kurang menarik, Dr. Peale mula berlengah tetapi kemudiannya terpaksa bekerja dengan tergopoh gapah.

Akibatnya, dia telah bekerja hingga ke tahap yang memenatkan dirinya dan gagal memenuhi semua perkara yang dilibatinya. Lima strategi yang dihasilkan oleh Dr. Peale untuk mengatasi tabiat melengah-lengahkan kerja adalah :-

KENALPASTI MASALAH

Dr. Norman Vincent Peale adalah seorang menteri ternama dan penulis buku yang hebat “The Power of Positive Thinking”

1. Pilih satu aspek masalah melengah-lengahkan kerja dan selesaikan masalah tersebut secara eksklusif sehingga masalah tersebut dapat dikawal. Sekiranya matlamat anda adalah untuk menghapuskan perlengahan kerja dalam semua aspek kehidupan, maka anda akan dapati yang matlamat anda adalah terlalu banyak dan tidak terbuat. Sekiranya anda dapat mengawal sebahagian daripada masalah anda, bermakna anda telah bersedia untuk menyelesaikan sebahagian yang lain.

FOKUS UNTUK SATU PERSATU

2. Tentukan keutamaan dan tumpukan kepada satu masalah pada satu masa. Ingat bahawa kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk bertindak balas terhadap semua perkara yang kita perlu lakukan. Disebabkan kita dapat memenuhi semua kehendak dalam masa yang ada, maka adalah penting bagi kita untuk menumpukan usaha pada tugas-tugas berkeutamaan tinggi. Menyelesaikan masalah satu demi satu akan menolong anda untuk menumpukan perhatian dan tenaga anda. Hasilnya anda dapat menyelesaikan masalah dalam jangka masa yang singkat.

TETAPKAN TARIKH AKHIR

3. Tentukan tarikh akhir untuk diri sendiri kerana ia membolehkan anda menumpukan perhatian dan tenaga terhadap tugas-tugas tertentu. Ramai orang yang bekerja bertungkus-lumus dalam keadaan tertekan boleh menghasilkan banyak usaha apabila tarikh akhir semakin hampir. Dalam kebanyakan hal, anda boleh mengatasi perlengahan kerja hanya dengan menentukan tarikh akhir dan berpegang padanya.

UTAMAKAN YANG SUKAR

4. Jangan cuba mengelakkan diri daripada masalah yang sangat rumit. Tangani masalah yang paling sukar dahulu. Menyelesaikan masalah yang paling sukar dengan berkesan akan melenyapkan rasa takut dan membina keyakinan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran yang serupa tahap kesukarannya pada masa akan datang.

URUS MASA DENGAN PRODUKTIF

5. Orang yang ketagih kerja (workaholic) sering mencemuh mereka yang lembab bekerja. Terlalu sibuk sehingga tidak sempat untuk bercuti merupakan satu lambang kebanggaan orang yang ketagih kerja. Namun begitu, orang yang terlalu asyik bekerja jarang-jarang produktif seperti pengurusan masa berimpak yang mampu mengimbangkan antara waktu kerja, masa lapang dan perhubungan peribadi. Produktiviti bergantung kepada apa yang berjaya dilakukan, masa lapang dan rekreasi.

selamat mencuba! -KMN-


error: