SEGAMAT – Atlet Sukan Para Asean (Para KL2017), S Thavanesvaran, 18, yang berjaya merangkul pingat emas dalam acara 400 meter (m) lelaki T44 (kecacatan kaki) disambut bagai wira di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ahmad Arshad, di sini, baru-baru ini.

Kejayaan Thavanesvaran itu sekali gus menjadikannya atlet pertama dari sekolah tersebut yang memenangi pingat emas dan kehadirannya disambut dengan sorakan dan kibaran Jalur Gemilang oleh warga sekolah berkenaan.

Thavanesvaran ketika ditemui berkata, dia yang berjaya merangkul tiga pingat emas dan satu pingat perak sepanjang lima hari temasya yang berakhir Sabtu lalu telah membuktikan kecacatan pada kakinya bukan alasan untuk dia beraksi cemerlang untuk negara.

“Selepas dapat emas pertama dalam acara 400m lelaki T44, perasaan berkobar-kobar itu terus muncul dan saya tidak sangka dalam acara 100m dan 200m juga saya dapat emas selain dapat membantu kuartert 4x100m negara memungut perak.

“Sewaktu bertanding, perkara pertama yang saya fikirkan adalah keluarga saya kerana saya bukan datang daripada keluarga yang senang kerana dibesarkan di kawasan ladang dan ibu bapa saya hanya bekerja sebagai penoreh getah,” katanya.

Menurutnya, dia yang hanya boleh berjalan seperti kanak-kanak normal sewaktu umur tujuh tahun juga berkata, dia menyertai acara olahraga dan mula berlari atas galakan bapanya K Subramaniam, 53, pada usianya 13 tahun.

Katanya, kecacatan pada kakinya bermula apabila doktor yang menyambut kelahirannya tersalah tarik kaki kirinya dari rahim ibunya, K Vijayalechumy, 53, sehingga menyebabkan urat kaki kirinya terputus.

“Selepas dilahirkan, saya terus menjalani pembedahan dan kesannya kaki sebelah kiri saiz tiga, manakala kanan pula saiz enam. Bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat saya untuk berjaya di dalam bidang sukan.

“Setiap hari saya berlari kira-kira 5,000m dan terima kasih kepda ibu bapa, guru dan jurulatih saya. Selepas ini saya hendak menumpukan perhatian pula kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Datuk Ahmad Arshad, Rosiah Salin berkata, kejayaan yang ditunjukkan oleh Thavanesvaran juga merupakan satu sejarah kerana belum ada pelajar dari sekolah ini yang meraih pingat emas dalam bidang sukan di peringkat Asean.

Katanya, beliau berharap kejayaan ini mampu membangkitkan semangat terhadap para pelajar lain di sekolah ini dalam bidang sukan dan akademik selain akan mengangkat Thavanesvaran sebagai ikon pelajar di sekolah tersebut.

(Visited 329 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!