Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Ahli Majlis MDS perlu lebih proaktif

SEGAMAT – Ahli-ahli Majlis Daerah Segamat (MDS) termasuk semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut perlu proaktif dan efisien dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Adun Pemanis, Lau Chin Hoon berkata, tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka perlulah digalas dengan sebaiknya selain bertindak secara strategik untuk mencapai kecemerlangan se­perti yang diharapkan oleh rakyat.

“Pembayar cukai di sini mengetahui peranan MDS ini bukan setakat memberikan perkhidmatan  seperti pengurusan sisa pepejal, kebersihan awam dan keindahan bandar, malah fungsinya meliputi melaksanakan projek pembangunan dan kemudahan kepada masyarakat.

“Oleh itu, setiap Ahli Majlis juga perlu sentiasa peka terhadap sebarang masalah dan aduan di setiap zon jagaan mereka kerana mereka dilantik untuk menjadi ‘orang tengah’ di antara MDS serta penduduk kerana jawatan ini (Ahli Majlis) masih lagi relevan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Segamat di MDS, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri semasa Sidang DUN akan datang supaya menaikkan lagi elaun Ahli Majlis selaras dengan tanggungjawab serta perkhidmatan yang diberikan oleh mereka.

“Saya tidak mahu terdapat Ahli Majlis yang menyalahgunakan kuasa mereka kerana mereka haruslah membantu rakyat demi kepentingan kerajaan negeri dan perlu turun secara kerap di kawasan mereka untuk membantu masalah penduduk.

“Ini kerana, mungkin ada di antara penduduk yang tidak tahu cara untuk menyalurkan aduan serta permasalahan mereka dan disebabkan itu terdapat sesetengah kes yang lambat diselesaikan kerana terlepas pandang,” katanya.

Chin Hoon (duduk, lima kanan) bersama Ahli Majlis MDS yang baharu dilantik.

Chin Hoon (duduk, lima kanan) bersama Ahli Majlis MDS yang baharu dilantik.

Sementara itu, Yang Dipertua MDS, Miswan Yunos berkata, seramai 24 Ahli Majlis telah dilantik bagi setiap zon di MDS mewakili parti terbesar iaitu 12 daripada Umno, MCA (Sembilan) dan MIC (tiga) bagi tempoh 1 Februari 2016 hingga 31 Disember 2017.

Menurutnya, peranan Ahli Majlis juga perlu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai satu gagasan baharu iaitu Gagasan Johor Berkemajuan yang bertujuan membentuk masyarakat yang maju dari setiap aspek kehidupan.

“Sebagai sebahagian daripada jentera pengurusan dan pentadbiran PBT, Ahli Majlis memegang amanah dan tanggungjawab besar dalam memastikan PBT sentiasa relevan dengan trend pembangunan negara dan menyelesaikan isu-isu setempat,” katanya.

(Visited 509 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)



Komen

error: