Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

88 pelajar dan tiga guru SMKA Segamat dipercayai keracunan makanan

SEGAMAT – Seramai 88 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat dipercayai mengalami keracunan makanan selepas makan di dewan makan sekolah itu petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kesemua pelajar dan guru itu mengalami muntah-muntah dan sakit perut sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk mendapatkan rawatan.

“Pada awalnya, seramai 42 pelajar mengadu mengalami simptom-simptom keracunan makanan sejak petang semalam (kelmarin) dan pada hari ini (semalam), seramai 46 pelajar dan tiga guru turut mengalami masalah sama.

“Kami memandang serius kejadian ini kerana melibatkan pelajar serta guru dan siasatan sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Segamat bagi mengenalpasti punca keracunan makanan ini,” katanya.

Ayub yang juga ADUN Kemelah berkata, pihak PKD Segamat juga telah membuat pemeriksaan di dewan makan sekolah tersebut dan mengeluarkan arahan menutup sementara operasi dewan makan berkenaan.

Menurutya, kesemua 42 pelajar yang mendapatkan rawatan di HDS, kelmarin, telah dibenarkan pulang sementara 46 lagi pelajar serta tiga guru yang mengalami simptom sama, hari ini sedang mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

Beliau juga menasihatkan mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan terutamanya di sekolah-sekolah agar sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan kerana ianya melibatkan kesihatan pelajar.

Katanya, beliau telah meminta pihak sekolah supaya memberi perhatian yang lebih kepada para pelajar yang terlibat dan pihak hospital juga telah diarahkan supaya memberi rawatan segera sekiranya terdapat pertambahan pelajar yang mengalami keracunan makanan.

Sementara itu, Amira Halina Nor Halim,16, pula berkata, dia mula mengalami sakit perut dan muntah beberapa kali sejak pagi semalam sebelum dibawa oleh pihak pengurusan sekolah ke HDS untuk mendapatkan rawatan.

“Ini merupakan kali pertama kejadian seumpama berlaku sepanjang empat tahun saya belajar di sekolah ini dan keadaan rakan-rakan lain yang mengalami masalah sama tidak begitu serius,” katanya.

“Saya tidak pasti punca sebenar yang menyebabkan saya dan rakan-rakan lain mengalami masalah ini kerana sebelum ini kami makan makanan yang telah disediakan di dewan makan sekolah petang semalam,” katanya.

(Visited 282 times, 1 visits today)






Komen

error: