Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

46 orang terima bantuan 1Azam

SEGAMAT – Kegembiraan jelas terbayang di wajah penerima bantuan program 1Azam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Peringkat Parlimen Segamat selepas hampir tiga tahun mananti permohonan mereka di luluskan.

Fatimah Kipit

Fatimah Kipit, 46, peniaga air tebu di Kampung Gelang Chinchin, di sini, berkata, dia terkejut dimaklumkan terpilih sebagai salah seorang daripada 46 penerima bantuan tersebut kerana menyangka permohonannya tidak diluluskan kerana sudah tiga tahun berlalu.

“Bantuan mesin air tebu yang saya terima hari ini akan saya gunakan untuk menggantikan mesin sedia ada yang sering rosak kerana sudah hampir empat tahun digunakan sejak mula saya menjual air tebu.

“Sekiranya tidak menerima bantuan ini, saya terpaksa membeli sendiri mesin baharu yang berharga ribuan ringgit dan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban saya lebih-lebih lagi ketika perlu membuat persiapan persekolahan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, wang yang dikumpul untuk membeli mesin tebu baharu juga boleh digunakan untuk perbelanjaan seharian dan persiapan persekolahan anak-anaknya yang akan bermula tidak lama lagi.

Dia ditemui selepas Majlis Penyerahan Bekalan Peralatan Program 1Azam Parlimen Segamat oleh Ahlli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam di Balairaya Taman Yayasan, di sini, baru-baru ini.

Bagi P Nagamah, 40, dari Taman Angerik, Gemas Baru pula menyifatkan bantuan yang diterimanya sebagai hadiah tahun baharu dan akan menggunakannya untuk memulakan semula perniagaan cendol yang terhenti sejak dua tahun lalu.

P Nagamah

Menurut ibu tunggal tiga anak berusia 12 hingga 16 tahun itu, perniagaan secara kecil-kecilan itu nanti akan mampu meringankan bebannya kerana dia tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap.

“Sebelum ini saya memang sudah menjalankan perniagaan tersebut, namun atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa berhenti berniaga selama dua tahun lalu dan hasrat untuk berniaga semula juga beberapa kali tertangguh disebabkan kekurangan modal.

“Bagaimanapun, masalah tersebut sudah dapat diatasi dengan bantuan peralatan yang diterima ini dan saya bertekad untuk membuktikan golongan ibu tunggal juga boleh berdikari dan mengubah hidup dengan bantuan 1Azam ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Subramaniam yang menyampaikan bantuan tersebut mengingatkan para penerima agar menggunakan peralatan yang diterima sebaik mungkin untuk menjalankan usaha menambah pendapatan mereka.

“Tidak dinafikan terdapat penerima yang tidak menggunakan bantuan yang diterima untuk menjana pendapatan sebelum ini, malah lebih menyedihkan lagi terdapat kes penerima yang menjual peralatan tersebut sebagai jalan mudah mendapat keuntungan segera.

“Jika ini berlaku, hasrat kerajaan untuk melihat mereka keluar dari kepompong kemiskinan tidak akan tercapai dan usaha tersebut akan hanya sia -sia sahaja serta merugikan semua pihak,” katanya.

(Visited 259 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: