Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

39 saman dikeluarkan dalam Ops Motosikal dan Cegah Lumba Haram

SEGAMAT – Tindakan pantas polis daerah ini berjaya menggagalkan aktiviti merempit dan lumba haram di sekitar daerah ini dalam Operasi Motosikal dan Cegah Lumba Haram di sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, operasi yang bermula pukul 2 pagi dan berakhir 4.30 pagi itu dilakukan di Dataran Segamat, Jalan Genuang, Bandar IOI, Jalan Muar-Segamat dan Pintu Gerbang Segamat.

“Dalam operasi ini, kami telah melakukan pemeriksaan terhadap 50 motosikal, mengeluarkan 39 keping saman dan menyita 10 buah motosikal kerana atas kesalahan tiada lesen memandu dan ubahsuai motosikal.

“Sebelum ini kami telah menerima panggilan telefon serta aduan dari orang awam tentang aktiviti rempit terutamanya pada waktu hujung minggu dan kebiasaannya mereka akan berkumpul di Pintu Gerbang Segamat di Jalan Genuang,” katanya.

Menurutnya, pengguna jalan raya dan penduduk di sekitar daerah ini terutamanya mereka yang tinggal di sekitar Jalan Genuang, di sini, juga sering mengadu tidak selesa dengan bunyi bising sehingga mengganggu penduduk yang sedang tidur terutamanya pada malam minggu.

Katanya, di antara kesalahan yang dilakukan adalah menunggang tanpa lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos serta enjin dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Turut ditahan dalam operasi ini adalah tiga remaja berusia 13 hingga 15 tahun yang menunggang basikal lajak atas kesalahan menunggang basikal lajak tanpa brek dan tidak dilengkapi loceng.

“Kami telah memanggil ibu bapa remaja berkenaan dan kesemuanya telah dibebaskan dan saya ingin menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan sebelum ini kami ada menerima aduan berkenaan basikal lajak ini,” katanya.

Menurutnya, selepas ini pihaknya akan bertindak lebih tegas terhadap penunggang motosikal yang menunggang di atas jalan raya dengan melulu dan boleh membahayakan orang awam atau penunggang jalan raya yang lain.

Pada masa sama, IPD Segamat melalui Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) akan menjadikan operasi membanteras mat rempit sebagai rutin setiap hujung minggu dan hari-hari lain bagi memastikan aktiviti tersebut di daerah ini berkurangan.

(Visited 43 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: