Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Sunday, November 5th, 2017

 

HDS terima perkhidmatan pergigian secara tetap

SEGAMAT – Hospital Daerah Segamat (HDS) melangkah setapak ke hadapan apabila menerima perkhidmatan terbaharu iaitu perkhidmatan pergigian yang telah mula beroperasi secara tetap sejak bulan Julai yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, sejarah perkhidmatan pergigian di HDS telah bermula pada tahun 2008 namun hanya menerima lawatan pakar dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

“Pada bulan Julai tahun ini, HDS telah menerima seorang pakar bedah mulut dan maksilofasial dan seorang pakar pergigian pediatrik untuk kanak-kanak telah ditempatkan secara tetap di HDS.

“Ini bagi memastikan perkhidmatan pergigian yang terbaik dapat diberikan kepada masyarakat khususnya penduduk daerah ini dan seramai 17 kakitangan termasuk dua pakar pergigian dan 15 pegawai pergigian telah ditempatkan secara tetap di HDS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Hari Terbuka HDS 2017 di Dewan Perdana HDS, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, hospital ini juga telah mula menyediakan perkhidmatan pesakit luar pergigian pada tahun 2014 dan sehingga kini, hospital ini telah memberikan rawatan pergigian kepada 10,539 pesakit.

Pada masa sama, tindakan Parti Amanah Labis yang membawa isu kuarters guru terbiar di Jalan Tenang-Labis dan Kampung Tenang merupakan isu lama kerana kuarters tersebut telah terbiar hampir 10 tahun tanpa penyelenggaraan.

“Kuarters ini pada awalnya dibina atas permintaan guru-guru baharu di kawasan tersebut namun pemotongan elaun Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan elaun sara hidup (Cola) antara punca guru di kawasan tersebut tidak berminat untuk tinggal di kuarters yang disediakan.

“Kerajaan sediakan kemudahan ini (kuarters) kerana terdapat keluhan daripada guru-guru yang mengalami kesukaran untuk mendapat rumah sewa selain kuarters ini dibina secara berpakej,” katanya.

Menurutnya, di peringkat daerah juga, isu ini telah dibincangkan beberapa kali sama ada oleh wakil rakyat kawasan tersebut selain sedang merancang jalan penyelesaian bagi menangani masalah tersebut.

Katanya, beliau juga berharap Kementerian Pendidikan dapat melonggarkan peraturan penggunaan kuarters guru terbiar ini untuk dimanfaatkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain agar perbelanjaan kerajaan dapat diuruskan dengan baik.

 


error: