Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Sunday, October 22nd, 2017

 

Berbasikal lihat khazanah alam

LABIS – Bagi mempromosi lokasi pelancongan di negeri ini, seramai 50 kakitangan Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Johor bersama kelab basikal dan anggota polis mengayuh basikal kira-kira 50 kilometer dari pekan Bekok ke Taman Negara Endau Rompin-Selai.

Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Magdlane Tuborng Malai berkata, melalui program Taman Negara Endau Rompin Selai Eko Ride itu, pelbagai aktiviti memupuk nilai cintakan alam sekitar dijalankan selain aktiviti lasak.

“Selain menunggang basikal sambil menikmati udara segar dan pemandangan, peserta turut membersihkan kawasan Lubok Tapah di taman negara tersebut sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Selain itu, aktiviti jalan malam, meredah hutan serta melawat beberapa air terjun yang terdapat di kawasan ini turut diadakan bagi mendekatkan lagi para peserta dengan khazanah alam semulajadi,” katanya.

Menurutnya, program pada kali ini merupakan kali keempat dianjurkan dan sebelum ini kawasan Taman Negara Endau Rompin-Peta dipilih sebagai lokasi program bagi tahun 2014 hingga 2016.

Katanya, selain pelbagai aktiviti di kawasan taman negara tersebut, peserta turut melawat dan mengadakan pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung Orang Asli Selai bagi memberi peluang kepada mereka melihat serta mempelajari adat resam suku kaum Jakun.

“Program ini secara tidak langsung juga mampu memberi pendedahan kepada masyarakat luar tentang gaya hidup dan budaya Orang Asli dengan lebih dekat sekaligus menepis persepsi bahawa Orang Asli ini merupakan orang asing.

“Mereka (Orang Asli) begitu dekat dengan alam semulajadi terutama hutan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan serta tempat mereka mencari rezeki dan banyak yang boleh dipelajari daripada mereka,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan salah satu aset pelancongan di negeri Johor yang boleh menarik kehadiran ramai pelancong luar sekaligus memberi faedah kepada sektor perlancongan dan ekonomi negara.

Katanya, beliau berharap masyarakat tidak menyisihkan masyarakat Orang Asli kerana mereka juga mampu menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan negara melalui keunikan budaya mereka.


error: