Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Thursday, October 5th, 2017

 

Bekas SC pernah kerja sebagai tukang tulis komunis

LABIS – Disebalik kedamaian dan keharmonian yang dikecapi ketika ini sebenarnya tercatat sejarah silam yang terlalu pahit untuk dikenang apabila nikmat kemerdekaan yang ada pada hari ini sebenarnya dibayar dengan harga yang terlalu mahal.

Pengalaman hidup di zaman darurat dan keganasan komunis juga sukar untuk dilupakan malah menyeksakan apabila ada penduduk di Tanah Melayu ketika itu terpaksa makan apa sahaja untuk kelangsungan hidup selain hidup dalam ketakutan.

Begitulah yang terpaksa dilalui oleh bekas Konstabel Khas (SC) pada zaman darurat, Johari Yunos, 90, apabila mengakui trauma yang ditinggalkan daripada kekejaman komunis itu tidak dapat dilupakannya sehingga hari ini.

Menurutnya, bagi generasi muda hari ini yang tidak pernah merasai penderitaan hidup pada zaman komunis, mereka mungkin tidak dapat membayangkan kekejaman kumpulan pengganas itu.

Johari Yunos

“Semasa Jepun menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941, pak cik ketika itu masih berumur 14 tahun dan terpaksa berhenti sekolah. Memang tak dapat hendak gambarkan susahnya keadaan masa itu.

“Apabila dijajah, rakyat menerima kesan buruk apabila makanan tidak mencukupi, makanan tidak berzat menyebabkan kami terpaksa melakukan apa saja kerja semata-mata untuk terus hidup,” katanya.

Pernah jadi tukang taip komunis

Menurutnya,selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Parti Komunis Malaya (PKM) pula membuat gangguan, sabotaj dan keganasan, ugutan atau percubaan membunuh kepada penduduk ladang, pekerja lombong dan penduduk di kawasan terpencil.

Katanya, pada tahun 1946 ketika usianya 19 tahun, dia bersama tiga rakannya ditawarkan oleh Rejimen Ke-10 PKM untuk menjadi tukang taip kertas propaganda komunis yang beroperasi di Kampung Paya Merah Lama, di sini.

“Kami tahu kami bekerja untuk komunis, namun kami tiada pilihan kerana ketika itu sukar untuk mencari pekerjaan tambahan pula kami dibayar agak mahal ketika itu iaitu RM4 sehari dan bila ada kerja baru kami ada gaji.

“Kami hanya menulis ayat-ayat propaganda bagi meraih sokongan dan memburukkan kerajaan sahaja dan hanya bekerja selama enam bulan dan terpaksa berhenti apabila komunis memaksa kami masuk ke hutan pula,” katanya.

Bagaimanapun, arwah ayahnya, Yunos Jamaluddin melarangnya untuk masuk ke hutan kerana sedar itu adalah usaha untuk merekrut anaknya menjadi komunis selain risau nyawanya akan melayang dibunuh sama ada oleh askar Melayu, British atau Gurkha.

Katanya, pada 31 Julai 1948, dia bersama rakan-rakanya kemudian nekad untuk pergi ke Segamat bagi memohon jawatan SC memandangkan ketika itu anak-anak muda diseru untuk bangkit mempertahankan tanah air.

“Sepanjang 11 tahun pak cik menjadi SC, pelbagai peristiwa pak cik lalui dan yang paling terkesan dalam diri pak cik adalah tragedi Bukit Locing di Bekok yang mengakibatkan lapan anggota polis terbunuh.

“Ketika itu pak cik bertugas sebagai SC di Tong Lee Estate dan gerila komunis dikatakan menggunakan taktik dengan cara memasang jerangkap samar di kawasan berhampiran jurang menyebabkan pasukan keselamatan tidak mempunyai ruang untuk berlindung,” katanya.

Lokasi tragedi Bukit Locing

Katanya, sebaik kenderaan pasukan keselamatan yang merupakan anggota dari Balai Polis Labis menghampiri laluan tersebut, kenderaan tersebut meletup lalu terbalik dan ketika itulah gerila menghujani mereka dengan peluru dan bom tangan dari atas bukit.

Menurutnya, dia yang kemudian tiba di kawasan tersebut melihat beberapa anggota keselamatan telah mati dan cedera parah selain kekuatan pasukan keselamatan tidak mampu menyamai musuh yang jumlahnya lebih besar.

Pernah diturunkan pangkat

Katanya, pada tahun 1949 sewaktu dia memegang jawatan sebagai koperal, dia pernah diturunkan pangkat dan memakai pangkat prebet kerana kegagalannya kembali ke Bekok sewaktu banjir besar.

“Ketika pak cik bercuti, kebetulan berlaku banjir besar sehingga menyebabkan pak cik tidak boleh balik ke Bekok dan akibatnya pak cik dikenakan tindakan tatatertib dengan diturunkan pangkat.

“Bagaimanapun, pada tahun 1952, pak cik menjalani latihan selama tiga bulan di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Taiping, Perak dan dapat semula pangkat korporal dan lulus ujian menjadi jurulatih SC,” katanya.

Menurutnya, sepanjang menjadi jurulatih SC, dia pernah ditugaskan di Melaka dan Kulai selain terlibat secara langsung ketika perisytiharan kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka sebelum berhenti pada 13 Julai 1959.

Katanya, dia yang pulang ke Labis kemudian bergiat aktif di dalam Umno serta pelbagai persatuan selain pernah dilantik memegang jawatan Ketua Kampung Labis 3 selama 18 tahun.

“Anak muda zaman sekarang memang beruntung sebab semuanya sudah ada dan tidak perlu bersusah payah seperti kami dahulu selain pelbagai pembagunan dan kemudahan telah dirasi. Hargailah kemerdekaan ini sampai bila-bila,” katanya.


error: