Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Saturday, September 9th, 2017

 

Masjid Labis terima sijil 5S

LABIS – Masjid Labis melakar sejarah tersendiri apabila menjadi masjid pertama di daerah ini menerima Sijil Sistem Persekitaran Berkualiti (5S) daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), baru-baru ini.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, amalan 5S ini merupakan asas kepada peningkatan kualiti dan produktiviti secara berterusan dalam persekitaran masjid dengan mengutamakan aspek kebersihan, kecekapan, kemesraan, penyeragaman dan keselamatan.

“Saya secara peribadinya melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Masjid Labis ini dalam memenuhi piawaian 5S yang ditetapkan oleh MPC dan berharap kejayaan ini dapat menjadi contoh kepada 13 lagi masjid di Parlimen Labis.

“Saya juga berharap usaha ini mendapat kerjasama sepenuh­nya daripada semua pihak dan dapat dikekalkan sebagai satu budaya, bukannya hanya bersifat sementara atau trend sahaja,” katanya.

Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri (Miti) berkata kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil 5S kepada pengurusan Masjid Labis di Dataran Labis, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, sewaktu dilantik sebagai Timbalan Menteri Miti dahulu, beliau telah diberi taklimat oleh MPC berkenaan sijil 5S dan tertarik kerana sijil ini tidak terhad kepada syarikat sahaja malahan rumah-rumah agama dan agensi-agensi kerajaan yang lain juga.

“Saya kemudian meminta MPC bekerjasama dengan Masjid Labis untuk memberi bimbingan, latihan, panduan dan tunjuk ajar bagi membolehkan masjid ini memperolehi sijil 5S dan gerak kerja telah bermula sejak awal tahun ini.

“Saya juga mahu Masjid Labis ini dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti, kualiti, penurunan kos operasi, penambahbaikan kepada sistem penyampaian, moral kakitangan dan peningkatan dalam aspek keselamatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga akan berusaha untuk memperolehi sijil yang sama terhadap rumah-rumah ibadat kaum lain khususnya di Parlimen Labis dan menyediakan kemudahan infrastruktur asas kepada penduduk.

Sementara itu, imam Masjid Labis, Abdul Rafar Yusof berkata, amalan 5S yang berterusan ini juga diharap dapat membantu pengurusan masjid mewujudkan pembudayaan kerja lebih produktif dan persekitaran lebih kondusif sepanjang masa kepada ahli kariahnya.

“Malah, perkongsian amalan terbaik dari setiap masjid yang mengamalkan 5S ini juga mampu meningkatkan imej, kualiti dan produktiviti masjid sebagai tempat ibadat utama umat Islam.

“Ini juga bertepatan dengan ajaran agama Islam itu sendiri yang mengutamakan amalan kebersihan, keselamatan dan be­kerjasama,” katanya.


error: