Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Tuesday, May 16th, 2017

 

Warga emas harap suami untuk urus diri

LABIS – Seorang warga emas di Felda Maokil, di sini, terpaksa mengharapkan bantuan suaminya untuk bergerak dan menguruskan diri selepas menghidap penyakit strok kira-kira 21 tahun lalu.

Tumirah Rahmat, 65, berkata, segala urusan harian di rumahnya juga terpaksa diserahkan kepada suaminya, Amat Mentol, 65, termasuk memasak dan memandikannya ekoran dia tidak boleh bergerak.

“Penyakit strok yang menyerang mak cik hanya di sebelah kanan badan dan tangan kanan mak cik juga tidak boleh bergerak dan dahulu keadaan mak cik lagi teruk apabila tidak boleh bercakap dan hanya terbaring sahaja.

“Biarpun dengan serba kepayahan, dia (suami) tetap setia menjaga mak cik sejak mak cik disahkan menghidap penyakit ini 21 tahun lalu dan selain itu mak cik juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi kronik,” katanya.

Dia ditemui semasa penyampaian sumbangan terhadap 20 pesakit kronik oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Johor semasa Program Kesedaran Kesihatan Masyarakat Chaah di Masjid Jamek Labis, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, dia juga tidak menerima sebarang bantuan sama ada daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal dan hanya mengharapkan duit sara hidup Felda suaminya selain bantuan kewangan daripada lima anaknya.

Sementara itu, pengarah program, Dr Siti Kamariah Othman berkata, selain sebuah pertubuhan dakwah, Ikram juga mengambil peduli tentang urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan cara hidup dan ajaran Islam.

“Kali ini kita bekerjasama dengan Masjid Jamek Chaah, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Segamat dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) untuk ambil peduli kesihatan masyarakat Islam di kawasan Chaah ini.

“Kami memilih kawasan masjid kerana ini adalah salah satu cara untuk mengimarahkan masjid dan kita akan terus menyantuni dan menyanjungi masyarakat sama ada dari aspek kebajikan dan kesihatan,” katanya.

Pada program tersebut, turut diadakan adalah pemeriksaan kesihatan seperti pap smear dan tibi secara percuma selain turut diserikan dengan pelbagai pengisian seperti ceramah kesihatan, pertandingan memanah, memasak dan sebagainya.


error: