Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Saturday, March 18th, 2017

 

Peneroka gigih ternak rusa dan landak

SEGAMAT – Tidak mahu menjadikan usia emas sebagai alasan untuk duduk diam tidak melakukan sebarang aktiviti, seorang peneroka Felda Redong di sini memilih untuk menceburkan diri dalam bidang penternakan.

Minat terhadap binatang liar ditambah mempunyai banyak masa terluang telah mendorongnya memilih rusa dan landak sebagai haiwan ternakan sejak hampir tiga tahun lalu.

Shamsuddin Ibrahim,61, berkata, pada mulanya dia tercari-cari apakah projek pertanian yang sesuai untuk dijalankan di tanah seluas satu ekar miliknya di Kampung Sawah Baru dekat sini sebelum mengambil keputusan untuk menternak rusa dan landak.

“Sebelum mula menternak rusa ini, saya pernah menternak kambing di kebun Felda Redong, namun saya menjual kesemua 80 ekor kambing saya kerana tidak mahu kambing-kambing tersebut merayau dan merosakkan tanaman penduduk.

“Saya berasa janggal tidak melakukan sebarang kerja selepas tidak lagi memelihara kambing lalu saya mengambil keputusan untuk menternak rusa dan landak bagi mengisi masa lapang,” katanya kepada Komuniti Segamat baru-baru ini.

Landak yang dipelihara oleh Shamsuddin jinak dan boleh diberi makan dengan tangan

Katanya, selain tidak memerlukan kawasan rayau yang luas kerana diternak di dalam kandang, rusa dan landak tidak memerlukan penjagaan terlalu rapi seperti ternakan lain seperti ayam dan kambing.

Menurutnya, dia hampir patah semangat apabila 15 ekor rusa miliknya yang sudah boleh dijual terlepas dan tidak ditemui sehingga hari ini yang menyebabkan dia mengalami kerugian puluhan ribu hampir dua tahun lalu disebabkan pagar kandangnya pecah.

Tambah Shamsudin lagi, dia mengambil masa beberapa bulan untuk membuat keputusan sama ada mahu membeli induk rusa baharu atau membiarkan sahaja kandangnya kosong sebelum nekad untuk membeli empat ekor rusa betina dan seekor jantan bagi memulakan semula usahanya itu.

“Saya bernasib baik tiga daripada empat induk yang saya beli itu telah beranak selepas setahun saya membelinya dan kini seekor lagi sedang bunting dan akan melahirkan anak dalam masa terdekat.

“Pada masa sekarang saya mempunyai lapan ekor rusa dan 12 ekor landak dan saya bercadang untuk membeli beberapa ekor lagi induk rusa dan landak dalam tahun ini,” katanya.

Katanya, empat ekor landaknya juga sedang bunting ketika ini dan jika setiap induk boleh melahirkan dua ekor anak, bermakna dia akan mendapat lapan ekor landak baharu.

Selain dedak, rumput yang terdapat disekeliling kawasan ternakan dijadikan makanan rusa.

Menurutnya, setakat ini dia telah membelanjakan hampir RM 60.000 untuk membina kandang serta membeli induk landak dan rusa termasuk 15 ekor rusanya yang terlepas sebelum ini.

“Kos makanan tidaklah setinggi mana kerana saya turut memberi rumput yang boleh saya cari sendiri kepada rusa-rusa saya sementara landak pula saya saya akan mencari buah-buahan seperti nangka atau buah-buahan yang terdapat di sekitar kampung.

“Saya hanya membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk membeli makanan kedua-dua haiwan ternakan tersebut dan berharap ianya boleh dijual selewat-lewat hujung tahun ini,” katanya.

Kagum semangat Shamsuddin

Keluarga dan rakan-rakan bukan sahaja mengagumi semangat Shamsuddin yang tetap meneruskan usaha menternak rusa dan landak selepas mengalami kerugian apabila semua rusanya terlepas dan gagal ditemui, malah memberi galakan terhadapnya untuk terus berjaya.

Isterinya, Saripah Kassim,59, berkata, ketika itu dia bukan sahaja bersedih kerana usaha suaminya menemui kegagalan, tetapi apa yang paling merisaukannya ialah bimbang jika suaminya patah semangat untuk meneruskan usaha tersebut.

Shamsuddin sentiasa memastikan kandang landak dan rusanya dalam keadaan bersih agar tidak menganggu keselesaan jiran lain.

“Memang beberapa ketika emosinya tidak menentu dan seakan tidak boleh menerima hakikat rusa-rusa kesayangannya telah lari entah kemana, namun berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan dia akhirnya dapat menerima hakikat dan berusaha bangkit semula.

“Saya merupakan orang yang paling gembira dan berasa lega apabila dia menyatakan hasratnya untuk membeli empat ekor induk rusa baharu serta seekor rusa jantan dengan harga RM15,000 kerana itu merupakan petanda dia sudah dapat melupakan kesedihan akibat kehilangan haiwan ternakannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, walaupun suaminya tidak memerlukan bantuannya, namun dia sering mengikut suaminya ke kandang rusa dan landak yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya bagi memberi galakan kepada suaminya.

Sementara itu rakannya, Omar Sanusi,51, melahirkan rasa kagum terhadap semangat kental yang ditunjukkan oeh Shamsuddin untuk memulakan projek ternakan rusa dan landak selepas mengalami kerugian.

Sebahagian rusa yang diternak oleh Shamsuddin di Kampung Sawah Baru, Labis.

Dia yang tinggal tidak jauh dari kandang rusa dan landak milik Shamsuddin juga tidak pernah rasa terganggu dengan bau busuk atau lalat kerana rakannya itu sentiasa menjaga kebersihan kandangnya.

Katanya, setiap hari rakannya datang membersihkan kandang tersebut serta menyembur Effective Micro – Organisme (EM) bagi mengelakkan pencemaran bau dan lalat yng boleh menganggu keselesaan jiran-jiran berdekatan.

Bagi Shamsiah Othman,48, kecekalan Shamsuddin yang tidak pernah patah semangat walaupun pernah mengalami kerugian harus dicontohi oleh anak-anak muda di sini dalam menjayakan sebarang projek yang diusahakan.

“Selain itu dia begitu mengambil berat terhadap kebersihan kawasan kandangnya kerana dia tidak mahu kami yang tinggal berhampiran dengan kandangnya merasa terganggu.

“Sebagai jiran, kami sering juga membantu dia dengan cara melihat kandangnya sewaktu dia tiada bagi mengelakkan ternakannya terlepas atau dicuri,” katanya.


error: