Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

20 anak orang Asli tepilih sertai Program ‘The First People Project 2017’

SEGAMAT – Program ‘The First People Project 2017’ anjuran Duta Jauhar Universiti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor bakal membantu mentransformasi masa depan anak-anak Orang Asli di Kampung Puting dekat sini terutama dalam bidang pendidikan.

Pengarah program, Muhammad Firdaus Darus berkata, program tersebut merupakan salah satu medium untuk mahasiswa menyumbang bakti kepada masyarakat khususnya masyarakat Orang Asli di Kampung Puting, di sini.

“Hasrat kami adalah untuk meningkatkan lagi tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan Matematik di samping menjadi medan untuk mahasiswa UiTM mengembangkan potensi diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak.

“Program tuisyen Matematik dan Bahasa Inggeris ini akan bermula pada bulan Mac ini hingga bulan September 2017 melibatkan 20 anak Orang Asli yang sedang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Badang,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian ‘The First People Project 2017 anjuran Duta Universiti UiTM Johor yang dirasmikan oleh ADUN Buloh Kasap, Norshida Ibrahim di Kampung Orang Asli Puting, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Segamat, Mohd Yazid Beram; Penolong Pengarah Bahagian Hubungan Industri Kementerian Pengajian Tinggi, Hanisah Zamani dan Mentor Duta Universiti UiTM Johor, Mohamad Faizul Mohd Ruslan.

Menurutnya, program ini juga akan memberi fokus kepada bimbingan dan tunjuk ajar Matematik dan Bahasa Inggeris secara ‘fun learning’ bagi membolehkan para peserta dapat memahami dengan lebih mudah dan cepat.

“Peserta akan dibekalkan dengan set buku latihan Bahasa Inggeris dan Matematik, fail peribadi peserta serta kad laporan prestasi pelajar yang akan digunakan oleh fasilitator program untuk memantau perkembangan pelajar hingga tamat program.

“Untuk majlis perasmian pada hari ini (kelmarin), telah diadakan penyampaian set buku latihan kepada para peserta, taklimat kepada para ibu bapa serta sesi suai kenal antara fasilitator dan peserta program,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yazid berkata, beliau mengalu-alukan kedatangan mahasiswa untuk melakukan aktiviti-aktivi kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di perkampungan Orang Asli di daerah ini.

“Program seperti ini secara tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan dalam mentransformasikan masyarakat Orang Asli dan saya berharap program ini dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan,” katanya.

(Visited 163 times, 1 visits today)






Komen

error: